Malaysia Airlines tambah penerbangan ke Eropah bantu penumpang terjejas

12 hours ago 5

PETALING JAYA – Malaysia Airlines akan menambah beberapa penerbangan tambahan antara Kuala Lumpur ke London Heathrow dan Paris Charles de Gaulle dari 6 hingga 8 Mac ini.

Usaha itu bagi membantu penumpang yang terjejas akibat gangguan rangkaian perjalanan global ketika ini.

Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini berkata, langkah tersebut diambil susulan ketidaktentuan geopolitik dan gangguan perjalanan yang berlaku di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, penambahan kapasiti pesawat antara Asia dan Eropah itu bertujuan membantu penumpang meneruskan perjalanan masing-masing selain menyatukan semula keluarga yang terpisah akibat gangguan penerbangan.

“Penerbangan tambahan ini akan menggunakan pesawat A350-900 dan akan beroperasi bersama perkhidmatan harian sedia ada,” katanya.

Antara penerbangan tambahan yang dijadualkan adalah laluan Kuala Lumpur–Paris pada 6 Mac, selain laluan Kuala Lumpur–London Heathrow pada 7 dan 8 Mac.

Malaysia Airlines turut memaklumkan bahawa laluan penerbangan tersebut dirancang melalui laluan alternatif bagi mengelakkan kawasan yang terjejas, dengan aspek keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan syarikat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Airline Business Malaysia Aviation Group, Bryan Foong berkata, industri penerbangan memainkan peranan penting dalam memastikan dunia kekal saling berhubung terutama ketika situasi global yang tidak menentu.

“Kami memahami bahawa di sebalik setiap perjalanan hari ini terdapat keluarga yang berharap untuk bertemu semula, pelajar yang pulang ke tanah air, serta pengembara yang berdepan situasi global yang sentiasa berubah.

“Malaysia Airlines tampil mengambil langkah proaktif dengan menambah kapasiti penerbangan di laluan yang diperlukan, selain bekerjasama rapat dengan rakan syarikat penerbangan bagi memastikan orang ramai dapat terus melakukan perjalanan dengan selamat dan lancar antara Asia dan Eropah,” katanya.

Tambahnya lagi, peranan Malaysia Airlines
bukan sekadar mengendalikan penerbangan, tetapi juga memberikan kestabilan dan keyakinan kepada para penumpang ketika mereka amat memerlukannya.

“Melalui perkhidmatan tambahan ini, Malaysia Airlines berbangga dapat memainkan peranannya dalam memastikan hubungan global terus terbuka sambil merealisasikan hospitaliti Malaysia yang menjadi identiti syarikat penerbangan kami,” katanya.

Malaysia Airlines juga memaklumkan, syarikatnya akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menyesuaikan kapasiti penerbangan sekiranya diperlukan bagi memastikan rangkaian perjalanan global kekal stabil. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |