PETALING JAYA – Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan ke dan dari Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Februari hingga 1 Mac ini susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat akibat perkembangan keselamatan serantau yang semakin meruncing.
Syarikat penerbangan nasional itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan berkenaan dibuat sebagai langkah berjaga-jaga demi memastikan keselamatan penumpang dan anak kapal.
Antara penerbangan terlibat ialah MH160 (KUL–DOH), MH156 (KUL–JED) dan MH158 (KUL–MED) pada 28 Februari selain MH159 (MED–KUL) serta MH161 (DOH–KUL) pada tarikh sama.
Turut dibatalkan ialah penerbangan MH164/MH165 (DOH–KUL) dan MH157 (JED–KUL) pada 1 Mac 2026.
Menurut kenyataan itu, semua penumpang terjejas sedang dimaklumkan dan akan dibantu dengan pengaturan perjalanan alternatif sekiranya perlu.
“Penerbangan ke destinasi terlibat akan digantung sementara sehingga penilaian lanjut terhadap situasi keselamatan dibuat,” katanya.
Penumpang yang terjejas dinasihatkan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing menerusi fungsi ‘My Booking’ bagi mendapatkan maklumat terkini.
Sebarang pertanyaan dan bantuan boleh diperoleh melalui Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar negara).
Dalam pada itu, penerbangan MH4 dari Kuala Lumpur ke London Heathrow dan MH20 ke Paris Charles de Gaulle kekal beroperasi seperti dijadualkan setakat ini.
Kedua-dua penerbangan tersebut menggunakan laluan alternatif melalui ruang udara Afghanistan yang berada jauh dari zon konflik terjejas.
Malaysia Airlines menegaskan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat dan boleh dipercayai.
“Keselamatan penumpang dan anak kapal kekal menjadi keutamaan kami,” jelas kenyataan itu.-KOSMO! ONLINE.

8 hours ago
6













![[VIDEO] Beli nasi ayam madu pakej ‘protein’ ulat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/bd536c23-bcd0-4710-ad22-8585d7d7a87c.jpeg)



































