‘Mak minta tolong, kau tak datang, memang kena’

12 hours ago 7

PETALING JAYA – Tiada kompromi, pelawak dan penyampai radio Johan mengakui dirinya sangat tegas dalam mendidik anak-anak khususnya soal menghormati ibu.

Ujar Johan atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz, 42, dia tidak kisah andai anak-anak lambat menyahut panggilannya, namun situasi berbeza sekiranya melibatkan isterinya.

“Kalau saya panggil tak menyahut, tak mengapa.

“Tapi kalau mak mereka panggil dan tak jawab, memang saya tegur dari belakang,” katanya dalam sebuah program audio siar.

Tambah penyampai radio Hot FM itu, ketegasan tersebut bukan bertujuan menghukum, sebaliknya sebagai peringatan agar anak-anak sentiasa meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi dalam keluarga.

Katanya, pengorbanan seorang ibu tidak ternilai dan perlu dihargai sejak kecil lagi supaya nilai hormat sebati dalam diri.

“Sembilan bulan ibu mereka mengandung dan bersusah payah.

“Bila mak minta tolong, tak datang, memang kena dengan saya,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan netizen yang menyifatkan Johan sebagai contoh terbaik buat golongan lelaki bergelar suami dan bapa kerana berani menegur serta mempertahankan martabat isteri di hadapan anak-anak.

“Betul tu. Anak-anak memang kena dididik hormat ibu dari kecil. Bangga betul saya dengan cara dan didikan yang dilakukan Johan kepada anak-anak,” tulis seorang netizen.

“Untung Ozlynn dapat suami yang tegas bab hormat isteri, benda mudah tapi tak semua lelaki bergelar suami boleh buat ,” komen seorang pengguna media sosial.

Untuk rekod, Johan mendirikan rumah tangga bersama Ozlynn pada 25 Julai 2009.

Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania dan Nur Latifah Cherdiq. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |