Louis Koo berbahasa Melayu, video Sofyank raih 1 juta tontonan

1 day ago 6

PETALING JAYA – Penampilan pelakon legenda Hong Kong, Louis Koon dalam video promosi bersama pempengaruh terkenal, Sofyank, mencetuskan fenomena luar biasa apabila meraih lebih sejuta tontonan dalam masa 12 jam.

Menurut Sofyank, atau nama sebenarnya Mohamad Sofian Abdullah, 29, peluang muncul bersama Louis merupakan satu pengalaman bermakna buatnya.

“Louis Koo antara pelakon yang saya tonton sejak kecil. Bila dapat satu skrin dengan dia, rasa macam mimpi.

“Walaupun kami hanya ada 20 minit untuk rakaman, semuanya berjalan lancar. Louis bukan saja profesional, malah kelakar dan banyak beri idea spontan,” katanya.

Momen paling mencuit hati apabila Louis menyebut ayat Melayu dengan loghat Kantonis, sekali gus mencuri perhatian netizen yang rata-ratanya terhibur.

Video berdurasi seminit itu dimuat naik sempena pelancaran filem Behind The Shadow dan menampilkan aksi mengejut Louis Koo keluar dari poster filem sambil berkata ‘Jom sapot!’.

“Kami minta dia sebut ayat ringkas dalam Bahasa Melayu.

“Dia terus setuju dan cuba sebaik mungkin. Itu buat kami semua rasa dihargai,” ujarnya.

Lebih menarik kata Sufian, filem Behind The Shadow menjalani penggambaran sepenuhnya di Malaysia.

“Bila filem Cina besar begini pilih lokasi 100 peratus di Malaysia, itu satu penghormatan besar buat industri kita.

“Saya harap lebih ramai pembikin filem luar buka mata tentang potensi bakat tempatan,” kongsinya.

Behind The Shadow mengangkat kisah jenayah dan penyiasatan misteri yang berlatarkan lokasi-lokasi ikonik Malaysia seperti pasar malam, jejantas, sekolah dan medan selera.

Filem gandingan Louis Koo bersama pelakon tempatan itu bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 Jun ini. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |