PETALING JAYA – Muatan lebih yang dibawa lori tipper turut menjadi punca kepada nahas yang meragut sembilan nyawa anggota SimpananPersekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak bulan lalu.
Punca tersebut adalah berdasarkan laporan teknikal kenderaan Bahagian Kejuruteraan Automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ini kerana kata laporan itu, kenderaan tersebut berkemungkinan telah bergerak di atas jalan raya dalam keadaan membawa lebihan muatan sebanyak 70.67 peratus lebih tinggi sekaligus meningkatkan tenaga kinetik pada kenderaan tersebut.
Jelas kaporan itu, ketika kejadian lori tipper berkenaan membawa muatan BDM 40,960 kilogram (kg) berbanding had yang dibenarkan (BDM 24,000 kg).
Sesebuah kenderaan dengan BDM 24,000 kg yang bergerak pada kelajuan 30 km/j dianggarkan menghasilkan tenaga kinetik sebanyak 833 kJ sedangkan kenderaan dengan BDM 40,960 kg dianggarkan
akan menghasilkan tenaga kinetik 1,422 kJ pada kelajuan yang sama.
“Selain berat, tenaga kinetik juga akan menjadi lebih tinggi jika kelajuan
bertambah. Berat dan kelajuan yang lebih tinggi akan mengakibatkan impak yang lebih tinggi dalam kes kemalangan dan mengalihkan jumlah tenaga yang lebih tinggi terhadap manusia bagi setiap saat,”kata laporan itu hari ini.
Berdasarkan laporan itu juga, trak FRU pula didapati tidak mempunyai tali pinggang keledar di setiap tempat duduk yang ada pada kenderaan.
“Ia termasuklah pemandu dan kebanyakan penumpang di tempatkan di ruangan
kargo pada tempat duduk jenis ‘bench’ yang pembuatannya dipercayai tidak memenuhi spesifikasi Peraturan UN No. 17 atau Peraturan UN No. 80.
“Kedua-dua faktor ini dipercayai menjadi punca kehilangan banyak nyawa dan
kecederaan parah kepada kesemua orang yang terlibat dalam kemalangan
tersebut,”katanya.
Terdahulu, pada 13 Mei lalu, sebuah kemalangan tragis berlaku di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, melibatkan trak yang dinaiki anggota FRU dan sebuah lori muatan batu.
Kemalangan tersebut berlaku sekitar pukul 8.50 pagi dan mengakibatkan sembilan anggota FRU maut, manakala beberapa yang lain mengalami kecederaan serius. -KOSMO! ONLINE.