IPOH – Pasukan Gerakan Am (PGA) menggempur sebuah kilang memproses bahan mineral jenis kaolin secara haram dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM20.8 juta dalam Op Bersepadu Khazanah yang dijalankan pada Isnin lalu.
Operasi melalui Cawangan Risik Batalion 1, Ibu Pejabat Briged Utara PGA di kawasan Simpang Pulai itu turut melibatkan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, dalam operasi itu, seorang lelaki warga emas berusia lingkungan 70 tahun dan seorang lelaki Myanmar berusia 30-an ditahan untuk siasatan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa sebarang kelulusan pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan lanjut menemui pelbagai mesin dan jentera memproses bahan mineral itu selain 354,000 kilogram (kg) kaolin dan 17,000 kepingan kaolin telah siap diproses.
“Turut ditemui di lokasi serbuan ialah 95,000kg longgokan kaolin siap diproses dan 50,000kg longgokan tanah liat putih jenis kaolin belum diproses,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil serbuan mendapati terdapat kegiatan pemprosesan mineral kaolin yang melibatkan beberapa peringkat sehingga menghasilkan galian kaolin berkualiti tinggi.
Katanya, kilang itu menjalankan aktiviti pemprosesan tanah putih campuran dengan menapis, mencuci, memampatkan serta mengasingkan mineral kepada pasir dan kaolin tulen bagi meningkatkan kualitinya.
“Kaolin yang diproses kemudiannya dijual sebagai produk gred tinggi pada harga lebih tinggi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, kesalahan memproses bahan mineral secara haram itu disiasat oleh JMG Perak di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Perlesenan) 2016 dan Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525). – KOSMO! ONLINE

18 hours ago
9
![[VIDEO] Orang UK serbu air jagung Malaysia, siap bungkus bawa balik](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-18-at-17.09.05.jpeg)
















































