SERDANG – Bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan, syarikat produksi Key Billions Sdn. Bhd. menganjurkan majlis berbuka puasa yang turut menyaksikan pelancaran filem terbaharu terbitan syarikat berkenaan berjudul Tiket Sehala.
Menariknya, filem arahan Rahila Ali itu mengangkat kisah tentang kes mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara.
“Tiket Sehala adalah berinspirasikan daripada kisah benar yang sememangnya sebuah masalah global, termasuk rakyat Malaysia sendiri ramai yang terjebak dalam sindiket tersebut.
“Filem ini merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan rasa terbitnya tanggungjawab untuk menunjukkan kesan dan akibatnya kepada penonton apabila menjadi mangsa,” ujar Rahila.
Antara barisan pelakon yang membintangi filem Tiket Sehala ialah Noki K-Clique, Jaa Suzuran Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin (Saha Champ).
Menariknya, filem ini turut menampilkan barisan pelakon empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Antaranya pelakon dari Korea Selatan seperti Hyunjun Sun, Ninja dari boyband SuperThai (Thailand) dan Naufal Samudra (Indonesia).
Selain memperkenalkan barisan pelakon, acara turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa robot di bawah kelolaan Shadow Combat League.
Sementara itu, pengasas Key Billions Sdn. Bhd. Eddie Yap berkata, pihaknya berminat untuk menerbitkan Tiket Sehala kerana kelainan naskhah yang ditampilkan.
“Saya melihat cerita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang dihasilkan, sedangkan ia satu masalah yang cukup besar dan membimbangkan.
“Jadi, menerusi Tiket Sehala, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran buat seseorang individu untuk lebih berhati-hati jika menerima tawaran bekerja di luar negara,” jelasnya.
Ujarnya, filem ini bukan sahaja menjalani penggambaran di Korea Selatan, malah turut menggabungkan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
“Dengan gabungan tersebut, sekurang-kurangnya memberikan pengalaman kru produksi Malaysia mempelajari sesuatu yang baharu daripada pihak luar agar dapat meningkatkan lagi
kualiti filem tempatan pada masa akan datang,” ujarnya.
Eddie berkata, Key Billions Distribution akan bertindak sebagai selaku pengedar bagi setiap filem-filem yang diterbitkan produksi Key Billions sendiri, filem-filem tempatan lain atau yang dibawa masuk dari luar negara.
“Kalau sebelum ini filem Soloz: Game Of Life yang kami terbitkan telah diserahkan kepada pihak pengedar lain untuk urusan tayangan di pawagam.
“Bagaimanapun, untuk filem seterusnya iaitu Tiket Sehala, semua urusan pengedaran termasuklah promosi akan diuruskan semuanya di bawah Key Billions Distribution,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pihaknya juga membuka ruang yang lebih luas untuk mengedarkan filem-filem yang diterbitkan oleh syarikat produksi yang lain.
Antaranya, mereka telah mendapat hak untuk mengedarkan dua buah filem lain iaitu Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang akan ditayangkan di pawagam tidak lama lagi.
“Dengan tertubuhnya Key Billions Distribution ini juga menjadi penanda aras yang menunjukkan kami serius untuk membangunkan industri perfileman.
“Malah, kami turut mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana penerbit yang mahu menggunakan khidmat kami untuk mengedarkan filem terbitan mereka,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
8

















































