Kerajaan tanggung subsidi Budi95, diesel RM3.2 bilion

13 hours ago 6

PUTRAJAYA – Tanggungan subsidi kerajaan bagi RON95 dan diesel kini melonjak masing-masing kepada RM2 bilion dan RM1.2 bilion susulan kenaikan harga minyak global akibat pergolakan dan konflik di Asia Barat.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sebelum konflik, jumlah tanggungan subsidi kedua-dua bahan api itu berjumlah RM700 juta dalam tempoh sebulan.

Bagaimanapun, kerajaan perlu menanggung jumlah subsidi bulanan keseluruhan RON95 dan diesel sekitar RM3.2 bilion melibatkan kenaikan keseluruhan subsidi sebanyak RM2.5 bilion.

“Bagaimanapun, kerajaan akan memastikan rakyat terus menerima bantuan melalui penyasaran subsidi RON95 di bawah inisiatif Budi95, selain mengekalkan harga petrol dan diesel walaupun perbelanjaan subsidi bahan api meningkat,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri di sini, hari ini.

Katanya, subsidi masih boleh ditampung kerajaan susulan pelaksanaan banyak reformasi dan konsolidasi fiskal dalam tiga tahun pentadbiran kerajaan.

Amir Hamzah berkata, harga minyak dunia telah naik mendadak dalam masa dua minggu ini daripada AS$60 setong dan pernah mencecah setinggi AS$119 dolar setong dan kini adalah sekitar AS$100 dolar setong.

Menurutnya, jika sekatan di Selat Hormuz itu berlaku dalam jangka masa yang panjang, ia pastinya akan memberi impak besar kepada harga minyak dunia.

“Seperti dimaklumkan Perdana Menteri, kita ada cukup bahan tenaga, petrol dan diesel dan Petronas dan lain-lain syarikat minyak di dalam negara ini sedang berusaha juga untuk memanjangkan bekalan yang ada dalam negara.

“Jadi, Alhamdulillah kita tak ada gangguan bekalan seperti mungkin yang ada di beberapa negara di luar sana,” katanya.

Katanya, Malaysia bernasib baik kerana mempunyai bekalan yang baik daripada segi gas asli termasuk kemudahan cari gali di dalam negara.

Jelasnya lagi, kapasiti penapisan minyak negara serta pengeluaran minyak dan gas dalam negara juga membantu memastikan bekalan mencukupi selain kemudahan simpanan yang ada juga menyokong kestabilan bekalan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |