KUALA LUMPUR – Kementerian Belia ldan Sukan (KBS) mahu momentum serta aura penganjuran Sukan SEA Malaysia 2027 mula digerakkan dari sekarang bagi memastikan temasya itu muncul antara edisi terbaik dalam sejarah.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, peranan rakan media amat penting dalam mencetuskan ‘hype’ awal bagi menarik minat serta sokongan rakyat, terutama golongan muda terhadap temasya dwi-tahunan itu.
Tegas Taufiq, Malaysia selaku tuan rumah edisi 2027 perlu memastikan penganjuran kali ini bukan sekadar penganjuran biasa, sebaliknya harus meninggalkan impak besar kepada pembangunan sukan negara.
“Kita sudah perlu wujudkan ‘hype’ Sukan SEA itu sendiri memandangkan kita akan menjadi hos pada 2027. Jadi, saya harap semua pihak termasuk media memainkan peranan masing-masing.
“KBS akan cuba sebaik mungkin untuk menganjurkan Sukan SEA ini dan menyasarkan ia menjadi antara yang terbaik. Ini sudah pasti memerlukan bantuan rakan media untuk memastikan ia dapat dijayakan dengan cemerlang,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Media di Subang Jaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Taufiq berkata hubungan rapat antara kementerian dan pengamal media sangat penting dalam menyampaikan mesej berkaitan pembangunan belia serta sukan secara telus kepada rakyat.
Katanya, media bukan sahaja bertindak sebagai medium penyampai maklumat, malah menjadi jambatan utama yang menghubungkan kementerian dengan suara masyarakat di peringkat akar umbi.
Jelas beliau, program libat urus bersama media akan terus dilaksanakan secara berkala bagi memastikan KBS sentiasa cakna dan memahami isu sebenar yang berlaku di lapangan.
“Penting untuk saya dan kementerian mengetahui apa yang berlaku di bawah (akar umbi) kerana media adalah antara pihak yang paling dekat dengan masyarakat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

9 hours ago
12















![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

































