‘Kami nampak letupan betul-betul di depan mata’

12 hours ago 6

KUALA LUMPUR – “Kami nampak letupan itu betul-betul di depan mata dari tingkap rumah.”

Itu detik mencemaskan dikongsi seorang rakyat Malaysia, @Haruko229 di laman Threads apabila kawasan kediamannya di Juffair, Bahrain yang terletak kira-kira tiga minit dari pangkalan tentera laut Amerika Syarikat (AS) diserang, semalam.

Menurut wanita itu, pagi berkenaan pada awalnya berjalan seperti biasa sebelum semua telefon bimbit berbunyi sekitar pukul 11.15 pagi sebagai amaran kecemasan dan selang beberapa minit kemudian, satu letupan kuat menggegarkan kawasan tersebut.

“Pukul 11.38 pagi, satu Juffair gempa. Kami nampak letupan di ruang udara dari tingkap rumah. Suami terus jerit suruh anak-anak jauh dari tingkap. Mereka memang takut,” katanya.

Tambahnya, ketika kejadian, anak-anaknya sedang mengikuti kelas agama secara dalam talian sebelum sesi itu dihentikan serta-merta susulan amaran dikeluarkan.

Suaminya yang bekerja di sebuah syarikat di negara itu turut memaklumkan pejabat telah mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan sejurus insiden berlaku.

Keluarga tersebut kemudian berkemas dan meninggalkan kawasan kediaman pada pukul 12.13 tengah hari sebelum menuju ke pejabat suaminya dan seterusnya mendaftar masuk ke hotel sebagai langkah keselamatan.

“Di lobi hotel memang ramai orang nak check-in. Pasar raya pula penuh dengan orang buat pembelian secara panik,” ujarnya.

Wanita itu turut mendakwa serangan kembali berlaku secara bertubi-tubi selepas waktu Maghrib dan kali ini menyasarkan kawasan kediaman yang lebih jauh dari pangkalan tentera laut.

Dalam pada itu, ruang udara Bahrain dilaporkan masih ditutup, manakala siren kecemasan daripada telefon bimbit, kereta peronda dan pasukan bomba kerap kedengaran.

“Kami sudah maklumkan keberadaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Bahrain dan mereka sangat membantu dalam keadaan begini,” katanya.

Terdahulu, ketegangan memuncak susulan dakwaan serangan dilancarkan oleh Iran terhadap beberapa negara yang menempatkan pangkalan tentera AS di rantau berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |