‘Kami datang sekadar mahu berhibur’

1 day ago 8

KLANG – “Kami datang hanya sekadar untuk berhibur dan tiada niat lain.”

Itu antara alasan yuang diberikan 11 gadis pelayan (GRO) warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen pada pukul 9.30 malam selepas menjadikan sebuah pusat hiburan di Bandar Bukit Tinggi di sini, sebagai lokasi transit untuk menawarkan khidmat seks.

Kesemua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dipercayai melakukan ‘urus niaga’ awal menerusi media sosial sebelum berkumpul berjumpa pelanggan di premis tersebut dengan bayaran RM150 hingga RM300 sejam.

Pengarah Imigresen negeri, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi itu dilakukan susulan maklumat dan risikan berkaitan aktiviti tidak bermoral wanita asing yang terdiri daripada warga Thailand, Vietnam dan Kemboja itu.

“Siasatan awal mendapati rata-rata wanita itu melakukan kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial. Selain itu, seorang lelaki warga Pakistan berusia 30-an yang juga pekerja bar premis berkenaan ditahan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Tinjauan Kosmo! mendapati semua wanita yang rata-ratanya bersama pelanggan tidak sempat melarikan diri apabila kawasan itu dikepung 21 pegawai dan anggota penguat kuasa Imigresen.

Ketika ditahan, ada daripada mereka mendakwa kononnya hanya sebagai pelanggan dan datang untuk berhibur di pusat hiburan yang telah beroperasi sejak lima tahun lalu.

Tambah Khairrul Aminus, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Semua warga asing yang ditahan dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih bagi tindakan lanjut. Imigresen Selangor akan mempergiatkan operasi seumpama itu bagi membanteras penyalahgunaan pas dan kegiatan tidak bermoral warga asing,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |