‘Janganlah harap bertudung, saya langsung tak buat silap’

1 day ago 7

PENGHIJRAHAN dalam kalangan selebriti bukan lagi satu hal asing dalam industri seni tanah air.

Ramai yang berhijrah dalam banyak aspek termasuk menutup aurat iaitu memakai tudung. Sayangnya, ada juga yang tidak kekal istiqamah.

Situasi tersebut yang sedang Isyariana lalui. Jiwanya bergelut untuk istiqamah dengan imej bertudung atau melepaskan. Tidak mudah tetapi dia sedang berusaha.

Pelakon berusia 35 mengakui sering berperang emosi, namun berasakan keputusan bertudung adalah muktamad.

“Sebelum ini saya ada cakap tidak pasti (bertudung) tetapi rasa-rasanya imej ini muktamad, semoga jiwa ini kekal istiqamah.

“Penghijrahan ini bukan disebabkan sesiapa. Bukan sebab suami, saya pun belum berumah tangga.

“Bukan juga kerana ibu walaupun dia ada paksa sebelum ini tetapi semua ini kerana Allah SWT,” katanya kepada HibGlam.

Pinta bintang filem Balas Balik itu, orang ramai perlu memberinya ruang dan peluang agar dapat membiasakan diri dengan imej tersebut berbanding mengecam.

“Cuma jangan harapkan saya terlalu sempurna. Buat masa ini saya lebih fokus kepada menguatkan diri secara dalaman termasuk pemikiran, hal berkaitan media sosial pun tak tengok sangat.

“Saya bersihkan hati dulu, lebih fokus pada hati sebenarnya.

“Janganlah harap dengan bertudung, saya langsung tak buat silap. Apa pun saya gembira dengan kehidupan sekarang,” ujar pemilik nama penuh Isyariana Che Azmi itu.

Dalam masa sama, bekas peserta Akademi Fantasia 2016 itu mengakui tidak terlepas daripada berdepan cabaran ketika mula bertudung selepas pulang dari menunaikan ibadah umrah pada Mac lalu.

“Saya ‘struggle’ dan rasa panas. Mungkin orang lain pun melaluinya juga, kemudian saya berdoa dan minta pada Allah permudahkan semuanya.

“Walaupun mula-mula rasa panas tetapi saya seronok dengan penghijrahan ini.

“Tempoh struggle itu sekejap sahaja, kemudian sekarang sudah rasa selesa dan Allah jawab doa itu. Terus semuanya okey, tiada lagi rasa panas atau rimas,” jelasnya.

Dia juga mengakui pernah mempunyai kerisauan tawaran lakonan bakal menyusut sekiranya bertudung, namun sebaliknya berlaku apabila masih diberikan peluang dan kepercayaan oleh pihak produksi.

Dia bagaimanapun tetap berharap imej baharunya itu tidak dijadikan limitasi oleh mana-mana pihak dalam menawarkannya watak untuk drama mahupun filem.

“Saya pernah terfikir akan kurang dapat tawaran kalau bertudung. Kalau pakai tudung mesti tak dapat macam-macam watak.

“Saya maklumkan kepada pihak produksi tentang imej baru ini, rupanya-rupanya banyak sahaja watak untuk saya.

“Jadi, tiada isu pun rezeki tersekat kerana bertudung. Paling penting sentiasa percaya bahawa rezeki adalah daripada Allah,” tuturnya.

Jika selebriti lain aktif menyertai kelas agama selepas berhijrah, dia memberitahu perkara itu sudah dilakukan sebelum memakai tudung.

“Sebenarnya sebelum saya berhijab, saya sudah aktif sertai program usrah dan kelas agama, aktiviti itu telah lama saya lakukan.

“Mungkin aktiviti sebegitu yang mendorong naluri untuk bertudung lebih kuat.

“Saya fikir, sudah pergi kelas agama dan sebagainya tetapi kenapa tak buat suruhan Allah.

“Tuhan sudah terlalu baik dengan saya selama ini dan disebabkan saya ambil keputusan untuk berhijab cuma sekarang masih berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik,” ujarnya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |