Hilangkan pensil warna, suami isteri seksa anak angkat dengan air panas

1 day ago 6

MELAKA – Sepasang suami isteri direman enam hari selepas disyaki mendera anak angkat mereka berusia sembilan tahun dengan mencucuh mangsa menggunakan pemetik api dan merendam tangan kanak-kanak lelaki itu di dalam air panas kerana menghilangkan pensil warna di sekolah, bulan lalu.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 10 November itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Uthman Abd. Ghani terhadap pasangan terbabit yang berusia 27 dan 24 tahun.

Perintah tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut sumber, kejadian terbongkar pada 30 Oktober lalu apabila pengadu yang juga abang suspek berkunjung ke rumah pasangan itu di Batu Berendam dan terlihat kesan melecur pada jari tangan kanan mangsa serta parut lama pada kaki.

“Ketika berada di rumah, suspek wanita telah menceritakan kepada isteri pengadu dia telah menyiram tangan kanan anak angkatnya itu dengan air panas pada hari sebelumnya kerana geram mangsa menghilangkan pensil warna di sekolah.

“Kaki mangsa juga pernah dicucuh pemetik api oleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori. Isteri pengadu yang terkejut terus memaklumkan perkara itu kepada suaminya dalam perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi.

Sumber itu berkata, keesokan hari pengadu bersama bapanya kembali ke rumah suspek dengan alasan ingin membawa mangsa keluar bersiar-siar bagi memastikan keadaan kanak-kanak tersebut.

“Suspek bersetuju dengan syarat mangsa dihantar pulang segera. Ketika berada di rumah ayah pengadu, mangsa menceritakan bahawa dia sering dipukul oleh kedua-dua suspek.

“Mangsa turut mendakwa jarinya telah direndam dalam air panas hingga melecur kerana menghilangkan pensil warna, manakala kesan parut di kaki akibat dicucuh pemetik api pada Ogos lalu,” katanya.

Katanya, pengadu yang tidak berpuas hati dengan perbuatan pasangan terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu.

Ujarnya, susulan laporan itu, sepasukan anggota Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan kedua-dua suspek tengah hari semalam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |