Harga diesel industri melonjak, trip feri Langkawi dikurangkan

5 hours ago 7

LANGKAWI – Operasi feri Langkawi akan dikurangkan daripada lima kepada tiga perjalanan sehari selepas Hari Raya Aidilfitri ini, namun jumlah perjalanan akan ditambah semula sekiranya terdapat peningkatan permintaan.

Penyusunan semula jadual perkhidmatan feri itu dibuat susulan kenaikan mendadak harga diesel industri yang meningkat melebihi 100 peratus. Harga diesel industri tersebut kini kira-kira RM7 seliter.

Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., TC. Dr. Baharin Baharom berkata, ia adalah sebagai langkah kawalan kos dan penyesuaian kepada permintaan semasa.

“Langkah penyusunan semula ini perlu bagi mengurangkan risiko kerugian yang semakin membebankan pengusaha feri di Langkawi selaras dengan peningkatan kos operasi yang tidak lagi mampan.

“Pada masa ini, pengusaha feri di Langkawi mengenakan kadar tambang sekitar 88 sen bagi setiap batu nautika iaitu jauh lebih rendah berbanding kadar dikenakan di pulau-pulau utama lain di Semenanjung Malaysia seperti Pulau Tioman dan Pulau Pangkor yang mencecah RM2 bagi setiap batu nautika,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pada 17 Mac lalu, satu perbincangan telah diadakan antara pengusaha feri dari Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak bersama Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan cadangan pelaksanaan surcaj susulan kenaikan kos bahan api.

“Bagaimanapun, keputusan berhubung permohonan tersebut masih belum dimuktamadkan oleh pihak kerajaan, ” ujarnya.

Pada masa sama, katanya, pengusaha feri Langkawi berpandangan bahawa inisiatif subsidi diesel sedia ada tidak memberikan kelegaan yang signifikan.

“Ini berikutan harga diesel industri di Langkawi adalah lebih tinggi berbanding harga diesel di pulau-pulau utama lain di Semenanjung Malaysia.

“Sehubungan itu, pengusaha feri berharap agar satu mekanisme penyelesaian yang lebih adil dan mampan dapat dipertimbangkan oleh kerajaan bagi memastikan kelangsungan industri pengangkutan feri ke Langkawi serta tidak menjejaskan sektor pelancongan tempatan,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna, namun pada masa sama kelangsungan operasi perlu dipastikan dalam keadaan kos yang semakin mencabar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |