BERMULA Ahad lalu, seisi keluarga mula berhimpun di hadapan televisyen untuk menonton program hiburan nombor satu Astro, Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
Konsert pengenalan minggu pertama menampilkan 13 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Filipina.
Peserta Malaysia diwakili Nubhan, Rahmat Ekamatra, Korie, Shy8, Krisya, Freshies, Mell Sakura dan Datuk Elaine Kang.
Indonesia pula mempertaruhkan kumpulan Mendua, Ruri si vokalis kacak Repvblik dan Shae, manakala Iskandar Ismail menjadi wakil tunggal dari Singapura. Edisi ke-12 GV juga tidak ketinggalan menampilkan penyanyi kelahiran Filipina, Mark Adam sebagai peserta.
Satu-satu hal yang diingati khalayak untuk konsert minggu pertama GV12 adalah kejutan kemunculan penyanyi legenda, Zaiton Sameon sebagai peserta keempat.
Rupa-rupa, kehadiran penyanyi Menaruh Harapan itu hanyalah gimik produksi untuk memperkenalkan segmen baharu iaitu segmen Lejen Lanjer yang menampilkan persembahan istimewa daripada penyanyi-penyanyi legenda.
Zaiton juga menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM4,000 usai persembahan istimewanya.
Konsert minggu pertama juga menyaksikan kumpulan Mendua muncul sebagai peserta dengan markah tertinggi iaitu sebanyak 69.50 peratus. Tempat kedua memihak kepada Mark Adam dan ketiga Nubhan.
Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha pula menjadi peserta dengan markah tercorot sebanyak 47.25 peratus.
Tiada penyingkiran
Seperti biasa, tiada penyingkiran pada minggu pertama. Minggu hadapan bakal menyaksikan para peserta menyanyikan lagu penyanyi lain, sekali gus menandakan pertarungan sebenar bakal bermula.
Mendua sewaktu ditemui ketika sidang media berkata mereka tidak menyangka akan mendapat tempat pertama untuk minggu yang pertama.
Menurut kumpulan yang dianggotai Pungki, Sasha dan Diana, mereka bertiga sudah 18 tahun tidak bersama.
“Bayangkan kami sudah 18 tahun tidak bertemu. Kami cuma bertegur sapa dalam media sosial sahaja, tetapi tak sangka selepas kami bertemu semula untuk GV12, ‘chemistry’ kami masih tidak berubah sama seperti ketika kami sertai Gang Starz, 18 tahun lalu,” jelas Pungki.
Kumpulan The Lima juga hadir dari Indonesia untuk memberikan sokongan. Sungguh terharu rasanya,” katanya.
Tidak seperti musim-musim sebelumnya, konsert minggu pertama GV12 seperti ada yang kurang. Persembahan peserta juga di tahap tidak mengagumkan.
Tidak tahu di mana silapnya, adakah kerana barisan peserta tahun ini kurang mengancam ataupun lagu-lagu yang dinyanyikan tidak begitu menyerlahkan vokal mereka.
Biarpun Korie mengundang kakaknya, Ella berduet menyanyikan lagu Pergilah Sayang, namun persembahannya belum mampu meletakkan dirinya dalam kelompok terbaik. Mujur konsert berdurasi tiga jam tersebut diselamatkan jenaka dua pengacara iaitu Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad. Gurauan mereka berdua bersama para peserta dan juri sekurang-kurangnya mampu mengurangkan rasa mengantuk.
Terima kasih juga kepada Mark Adam. Selain handal menyanyi, sifat humor yang ada padanya juga membuatkan penonton berdekah dengan teletahnya sewaktu sesi kritikan bersama barisan juri.
Apa-apa pun mungkin masih terlalu awal untuk menilai. Masih berbaki 11 minggu untuk setiap peserta menunjukkan taring mereka di pentas GV12. Semoga minggu hadapan lebih menggegarkan!

10 hours ago
2









![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)







































