PARIS – Carlos Alcaraz mencipta sensasi apabila muncul juara Terbuka Perancis 2025 selepas bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Jannik Sinner dalam final paling panjang dalam sejarah kejohanan Roland Garros itu.
Bintang Sepanyol berusia 22 tahun itu menyelamatkan tiga mata kejuaraan pada set keempat sebelum menutup perlawanan epik berlangsung selama lima jam 29 minit dengan kemenangan dramatik 4-6, 6-7 (4/7), 6-4, 7-6 (7/3), 7-6 (10/2).
“Saya sentiasa percaya walaupun sudah ketinggalan dua set. Saya hanya fikir untuk terus berjuang dan nikmati setiap mata, itulah semangat saya di atas gelanggang,” ujar Alcaraz.
Alcaraz menjadi pemain lelaki pertama dalam sejarah Roland Garros menjuarai Grand Slam selepas menyelamatkan match point dan memenangi set penentuan menerusi tie break iaitu pencapaian luar biasa yang menyaingi kebangkitan Novak Djokovic di Wimbledon 2019.

“Satu penghormatan dapat berkongsi gelanggang dengan awak dalam perlawanan bersejarah seperti ini. Tahap permainan awak menakjubkan,” kata Alcaraz kepada Sinner selepas tamat perlawanan tersebut.
Sinner yang memburu gelaran Grand Slam ketiga dan kemenangan sulung di gelanggang tanah liat di Paris, hampir untuk merealisasikannya apabila mendahului 5-3 dalam set keempat, namun gagal menamatkan saingan sebagai pemenang.
“Lebih senang bermain daripada bercakap sekarang. Saya tidak akan tidur lena malam ini, tapi saya tetap gembira dengan pencapaian ini,” kata Sinner selepas perlawanan di gelanggang Philippe Chatrier.
Dengan kemenangan itu, Alcaraz bukan sahaja menambah koleksi gelaran utama kelimanya, malah mengukuhkan status sebagai pencabar utama era baharu tenis lelaki bersama Sinner yang kini menjadi seteru klasik di pentas Grand Slam. – AGENSI