Fahmi Zainol digantung segala jawatan berkuat kuasa serta-merta

10 hours ago 6

PETALING JAYA – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memutuskan untuk menggantung segala jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkuat kuasa serta-merta berikutan pendakwaan terhadap beliau.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MPP yang berlangsung hari ini.

Katanya, penggantungan jawatan parti tersebut akan berterusan sehingga kes mahkamah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak itu diputuskan.

“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung Keadilan akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada 27 Februari 2026 atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya pada minggu lalu.

Fahmi, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Bagaimanapun, mahkamah telah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Dalam perkembangan lain, Fuziah memaklumkan MPP turut membincangkan isu surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli.

“Parti mengambil maklum bahawa beliau kekal sebagai anggota parti, dan mengingatkan beliau agar sentiasa mematuhi perlembagaan, kod tata etika dan disiplin parti sebagai tanda beliau masih setia sebagai anggota parti,” katanya.

Selain itu, beliau menambah, MPP memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membawa satu usul tergempar ke Dewan Rakyat pada esok untuk mengecam serangan kejam Israel dan sekutunya ke atas Iran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |