GOMBAK – China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCC-ECRL) selaku kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mengumumkan penyempurnaan Segmen C1B, menandakan kejayaan pelaksanaan fasa awal kerja-kerja sivil sepanjang jajaran dari Kelantan ke Gombak.
Segmen C1B meliputi jajaran teknikal penting yang menghubungkan laluan keluar Terowong Genting ke Stesen ECRL Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Ia merangkumi Terowong Gombak, dua jambatan utama serta kerja-kerja subgred yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan jajaran Pantai Timur dan Pantai Barat bagi keseluruhan laluan ECRL.
Penyempurnaan penanda aras kerja sivil itu meletakkan asas yang kukuh bagi fasa pembinaan seterusnya, termasuk kerja pemasangan landasan dan sistem di Selangor, serta ujian dan pentauliahan untuk keseluruhan jajaran.

Ia menandakan langkah penting bagi projek ECRL ke arah mencapai kesalinghubungan penuh dan penyempurnaan fasa pertama kerja pembinaan menjelang akhir 2026.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Deng Bo berkata, setakat Oktober 2025, projek ECRL telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 88.08 peratus, mencerminkan komitmen dan koordinasi kukuh pasukan.
“Penyempurnaan Segmen C1B merupakan satu pencapaian penting dalam kerja-kerja sivil sepanjang jajaran Selangor, yang melibatkan keadaan geologi yang mencabar dan ruang pembinaan yang terhad.
“Lokasi segmen ini yang berhampiran hab pengangkutan utama serta jajaran lebuh raya turut menambah cabaran kejuruteraan dan logistik, menjadikan kejayaan ini amat bermakna,” katanya pada Majlis Penyambungan Penuh Pembinaan Kerja Sivil Fasa 1 ECRL di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Syarikat Kejuruteraan Pelabuhan China, Bai Yinzhan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak.
Kerja-kerja pembinaan Segmen C1B bermula pada September 2022 yang turut melibatkan kerjasama rapat bersama pihak berkuasa setempat dalam pelaksanaan langkah pengurusan trafik dan menyelaras operasi di tapak.
Bagi memastikan keselamatan dan pembinaan berkualiti, CCC-ECRL turut mengaplikasikan pendekatan kejuruteraan inovatif seperti analisis simulasi struktur terperinci, kaedah prafabrikasi modular, serta pengukuran digital berketepatan tinggi.
Pendekatan tersebut membolehkan kerja-kerja dijalankan secara efektif dalam kawasan taburan penduduk padat, sekaligus menunjukkan komitmen CCC-ECRL terhadap keunggulan teknikal dan operasi selamat. -KOSMO! ONLINE

1 day ago
4











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































