Dua remaja maut, kereta bawa dadah langgar lampu isyarat merah

1 day ago 6

TEMERLOH – Gara-gara sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat merah menyebabkan dua remaja wanita maut selepas mereka dirempuh kereta jenis Perodua Bezza di lampu isyarat Jalan Tengku Ismail di sini malam semalam.

Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Nur Irdina Shaffiya Muhammad Nazri,18, dan pembonceng motosikal, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman,18.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, sejumlah dadah jenis syabu dan heroin turut ditemui di dalam kereta yang dipandu lelaki berusia 38 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, semasa kejadian kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dalam perjalanan dari arah Mentakab menghala ke arah bulatan Bukit Angin di sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa telah berhenti kerana lampu isyarat merah manakala kereta tidak berhenti di lampu isyarat dan melanggar belakang motosikal dinaiki mangsa.

“Akibat kejadian penunggang dan pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,”katanya di sini hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus di persimpangan tiga lampu isyarat dan semasa kejadian permukaan jalan rata dan kering serta tahap pencahayaan cerah dengan lampu jalan.

Dalam pada itu beliau berkata, susulan kejadian pihak polis telah menahan pemandu kereta berkenaan di hadapan lobi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan di dalam kereta dipandu lelaki itu menemukan satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dan dua peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran nilai kira-kira RM6,110.

Tambahnya, ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah dan suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah atau penyalahgunaan dadah.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |