KLANG – Dua sahabat dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot di sekitar perairan Pelabuhan Klang di sini, sejak Ahad lalu.
Kedua-dua mangsa lelaki iaitu Muhammad Irwanshah Ismail, 33, dan rakannya yang hanya dikenali sebagai Halim.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca dari Jeti Kampung Pendamar, kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan masih belum pulang.
Katanya, kehilangan itu dilaporkan oleh adik mangsa yang hadir ke Ibu Pejabat Maritim negeri semalam.
“Berdasarkan laporan ahli keluarga, kali terakhir mangsa dihubungi pukul 8.30 malam hari sama menerusi aplikasi WhatsApp oleh isteri mangsa.
“Mangsa memaklumkan mereka sedang berlindung di sebuah rumah pancing kerana angin kencang dengan jarak kira-kira sejam dari jeti Kampung Pendamar namun lokasi tepat tidak dinyatakan,” katanya petang ini.
Menurut Abdul Muhaimin, aset bot pihaknya kemudian diatur gerak ke kawasan rumah pancing di perairan Pulau Ketam bagi melakukan pencarian awal.
Tegasnya, operasi hari pertama ditangguhkan berikutan cuaca buruk dan keadaan gelap yang menyukarkan pencarian sebelum disambung semula pukul 7 pagi tadi.
“Hari kedua meliputi keluasan sektor pencarian seluas 66 batu nautika persegi
dengan tambahan tiga aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” ujarnya.
Tambah beliau, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Ibu Pejabat Maritim negeri turut dibuka pihaknya bagi menyelaras gerak kerja operasi di sektor pencarian.
“Mereka yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga dikenali sebagai Halim diminta menghubungi Maritim Negeri Selangor bagi membantu usaha pencarian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
6













![[VIDEO] ‘Saya terpijak lalat ini sampai bunyi meletup-letup’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/lead-2-1.jpeg)



































