KOTA BHARU – Dua ketua balai polis di Kelantan menerima surat teguran selepas gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menangkap seorang penagih setiap hari dalam tempoh seminggu menerusi pelan strategik membanteras dadah yang dilaksanakan bermula 15 Julai lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, surat itu diberikan sebagai langkah awal supaya anggota terbabit menjalankan tugas dan menjayakan misi membanteras penyalahgunaan dadah.
Katanya, ketua balai yang gagal mencapai sasaran turut diberikan tempoh untuk memperbaiki pencapaian masing-masing dan memenuhi KPI ditetapkan.
“Saya tidak zalim. Kita beri surat teguran dahulu sebelum tindakan dilakukan. Sebagai contoh, tangkapan penagih dadah diwajibkan seorang setiap hari, jadi mesti ada tujuh suspek sepanjang tempoh tersebut.
“Jika hari ini kosong (tangkapan), ketua balai perlu pastikan esok dua. Jadi, dua ketua balai yang menerima surat teguran ini tidak menangkap penagih dadah dalam tempoh seminggu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, setakat ini, tujuh balai yang gagal menepati KPI menangkap untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari.
Katanya, ketua balai yang tidak capai sasaran tersebut berada dalam pemantauan IPK.
“Pasukan khas IPK Kelantan akan turun ke kawasan balai berkenaan sekiranya tiada tangkapan direkodkan. Jika IPK dapat tangkap, ketua balai berkenaan akan kena tindakan. Maknanya mereka tidak buat kerja,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, IPK Kelantan menetapkan kewajipan kepada 56 ketua balai polis di negeri ini untuk menangkap seorang penagih dadah setiap hari bermula 15 Julai lalu.
Mohd. Yusoff berkata, ketetapan itu dibuat berikutan balai polis mempunyai sektor-sektor tertentu yang dekat dengan masyarakat sekali gus memudahkan proses tangkapan ke atas individu yang terjebak dadah. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
8



![[VIDEO] Jepun panas… Dara, Amoi, Kelat bersungguh cari tempat teduh](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-22-at-6.45.58-PM.jpeg)


































![[VIDEO] Masih tinggal dengan capybara, Oyen kekal paling popular di Zoo Negara](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/oyen-zoo-negara.jpeg)







