24 laporan polis susulan isu penguatkuasaan pencerobohan Hutan Ramsar Tasik Bera

9 hours ago 7

KUANTAN – Polis telah menerima 24 laporan berkaitan isu penguatkuasaan pencerobohan Hutan Simpan Kekal Tapak Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) Tasik Bera.

Difahamkan laporan polis antaranya melibatkan kerana mengganggu penjawat awam melakukan tugas dan laporan daripada Orang Asli kerana menyepak bekas kemenyan.

Pemangku Ketua Polis Pahang Datuk Azry Akmar Ayob berkata, laporan polis tersebut diterima daripada kedua-dua pihak sama ada penguatkuasa dan masyarakat Orang Asli.

“Setakat semalam terdapat 24 laporan polis melibatkan pelbagai laporan berkaitan operasi tersebut.

“Setakat ini tiada lagi tangkapan terbaharu dan operasi masih diteruskan,”katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Pahang di Dewan Tun Razak Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan Tapak Ramsar yang diiktiraf sejak 1994 itu kini berhadapan ancaman serius apabila lebih 7,000 hektar kawasan dikatakan diteroka secara hatam dengan tanaman sawit, getah dan pelbagai tanaman kontan.

Pencerobohan itu dipercayai dilakukan oleh dalang atau sindiket berselindung di sebalik nama Orang Asli yang mempergunakan mereka melalui penggunaan isu tanah adat dan juga kawasan rayau etnik itu bagi membuka tanah secara haram.

Susulan itu pelbagai pihak mahu agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera bagi mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab memusnahkan tapak Ramsar itu.

Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd. Nor dilaporkan berkata siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi perlu dilakukan bagi mengenalpasti dalang sebenar yang mempergunakan Orang Asli.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata jika siasatan mengesahkan berlaku penerokaan secara haram, tindakan tegas perlu diambil termasuk merampas kawasan berkenaan dan memulihkannya sebagai hutan simpan.

Dalam pada itu Azry berkata, tangkapan sebelum ini hanya melibatkan lima individu iaitu empat lelaki dan seorang wanita yang mengganggu penjawat awam melakukan tugas.

Katanya, kes itu masih dalam siasatan pihak polis dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

Tambahnya, pada masa ini operasi masih giat dilakukan pihak berkuasa dan tindakan provokasi daripada penduduk setempat dilihat semakin berkurangan.

“Polis menasihatkan masyarakat sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak agensi penguatkuasa melakukan operasi atau pun melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kawasan hutan simpan,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |