SERDANG – Cubaan tiga lelaki termasuk dua individu yang mempunyai 43 rekod lampau melarikan diri sejauh 25 kilometer berakhir apabila diberkas polis, awal pagi hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 3.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic ditahan unit peronda (MPV) untuk pemeriksaan di Jalan Putra Permai sebelum memecut laju menghala ke arah Seri Kembangan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, insiden mengejar itu belaku sehingga persimpangan Jalan Suakasih, Cheras berhampiran susur keluar Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
“Kereta dinaiki suspek telah hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 5.1 menyebabkan kenderaan tersebut terbalik di tengah jalan.
“Kesemua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia di antara 40 hingga 51 tahun telah dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, semakan mendapati dua suspek mempunyai 43 rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik sementara seorang suspek merupakan individu dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai pelbagai jenis dadah antaranya kokain seberat 77.10 gram (g), ganja (47.21g), serbuk ekstasi (54.07g), ketamin (30.18g), pil kuda (3.2g), pil ekstasi (3.4g) dan pil erimin 5(0.98g).
“Polis turut menemui sebuah objek bewarna kelabu dengan komponen besi dan skru bersama satu gulung wayar dan sebuah unit bateri motosikal disyaki peranti bahan letupan (IED),” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Enjata Berbahaya 1958,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE