PENERJUN negara, Nur Dhabitah Sabri meluahkan kebimbangan terhadap kekurangan bakat pelapis wanita yang semakin ketara dalam skuad kebangsaan ketika ini.
Atlet berusia 25 tahun itu berkata, situasi tersebut memaksa kem negara bergantung kepada beberapa nama sama untuk menggalas pelbagai acara sekali gus menimbulkan tekanan tambahan kepada penerjun sedia ada.
“Agak merisaukan jugalah. Sekarang bukan dalam papan anjal saja, tapi seluruh pasukan wanita memang makin kurang.
“Lee Yiat Qing pun saya kesian sebab dia kena buat dua acara. Saya pernah berada di tempat dia, memang sangat penat dan bukan sesuatu yang mudah,” kata Dhabitah.
Menurutnya, situasi itu perlu segera ditangani agar Malaysia terus kekal sebagai kuasa besar di rantau ini dan tidak ketinggalan berbanding negara jiran.
“Saya pun bukan muda lagi, jadi saya harap akan ada pelapis yang boleh bangkit dan gantikan tempat kami nanti. Itu satu-satunya cara untuk kita terus kuat,” ujarnya.
Pada Terbuka Malaysia hujung minggu lalu, Dhabitah menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara tiga meter (m) papan anjal individu sebelum bangkit memenangi emas bersama Ong Ker Ying dalam acara seirama.
Juara Sukan SEA itu berkata, kejohanan kali ini lebih kepada usaha mendapatkan semula rentak selepas kembali menjalani latihan penuh hanya sebulan lalu.
“Kejohanan ini lebih kepada nak dapat balik ‘rasa’ pertandingan. Saya tak jangka pun nak menang apa-apa, cuma nak tengok sejauh mana tahap saya lepas lama berehat,” jelasnya.
Mengulas hala tuju selepas ini, Dhabitah berkata, dia akan kembali memperkukuh asas terjunan bagi membina semula konsistensi sebelum memutuskan tentang penyertaan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2027.
“Kalau masa itu saya masih aktif dan masih berlatih, insya-Allah saya akan sertai. Buat masa sekarang, saya ambil langkah satu demi satu dulu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































