KUALA LUMPUR – Legenda badminton negara, Lee Chong Wei, menyimpan impian besar terutama membantu skuad badminton negara terus memiliki barisan pemain terbaik dunia apabila bakal menganjurkan kejohanan remaja yang akan diadakan pada tahun ini.
Menurut Chong Wei, dia mahu melahirkan seorang lagi bintang sepertinya pada masa hadapan sekali gus menganjurkan kejohanan yang dinamakan sempena namanya, Piala Lee Chong Wei (LCWC) itu.
Chong Wei menegaskan, pengalaman peribadinya sebagai pemain sebelum ini mendorongnya untuk menganjurkan kejohanan tersebut selepas melihat keperluan lebih banyak platform kompetitif seperti itu perlu diperbanyakkan bagi pemain muda untuk menonjolkan bakat mereka.
“Impian saya memang mahu buat sesuatu untuk negara. Ketika saya muda dulu, kejohanan memang terhad dan keadaan itu masih hampir sama sekarang.
“Saya mahu beri peluang kepada pemain junior membuktikan kemampuan mereka menerusi kejohanan ini, bukan sekadar menghabiskan masa di rumah bermain permainan video,” katanya pada Majlis Pelancaran Piala Lee Chong Wei di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, semalam.
Menariknya, kejohanan badminton LCWC bukan sekadar kejohanan biasa apabila turut menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM100,000 selain ‘tiket emas’ kepada juara atau pemain yang mara ke pentas final untuk dinilai menyertai program skuad kebangsaan.
“Kami akan menilai potensi mereka. Jika menunjukkan prestasi yang baik, laporan jurulatih profesional BAM akan menjadi penentu hala tuju mereka.
“Saya sudah berbincang dengan BAM untuk memberi peluang kepada juara atau finalis menjalani sesi percubaan selama tiga bulan bersama skuad kebangsaan,” tambahnya yang kini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM.
Penganjuran edisi sulung LCWC bakal melibatkan penyertaan kira-kira 3,200 pemain membabitkan tiga kategori umur iaitu Bawah 13 (B-13), Bawah 15 (B-15) dan Bawah 17 (B-17). Kejohanan tersebut akan meliputi kesemua lima disiplin, iaitu Perseorangan Lelaki, Perseorangan Wanita, Beregu Lelaki, Beregu Wanita dan Beregu Campuran.
Dengan kerjasama Chery dan BAM, Chong Wei berharap kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan bagi melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia sekali gus meneruskan legasi kegemilangan badminton Malaysia di persada antarabangsa. -KOSMO! ONLINE

13 hours ago
12















![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

































