PETALING JAYA – Penganjuran Kejohanan Cabaran Golf Tan Sri Muhyiddin (TSM) kali ini bertemakan ‘In Search of the Malaysian Tiger’ dengan menampilkan seramai 85 pemain muda terbaik membabitkan 50 lelaki dan 35 wanita berumur bawah 21 tahun (B-21).
Kejohanan edisi ke-14 itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) bermula 16 hingga 19 Jun 2025 ini.
Presiden Yayasan TSM Charity Golf (TSMCGF), Datuk Mustapha Buang berkata, acara itu bukan sekadar pertandingan golf tetapi sebahagian daripada gerakan kebangsaan membina masa depan belia melalui pendidikan, bimbingan dan sukan.
“Acara ini lebih daripada kejohanan golf, ia merupakan satu gerakan kebangsaan. Kami beriltizam mencipta impak berpanjangan dalam pembangunan belia Malaysia dengan pendekatan inklusif dan berkesan,” katanya dalam sidang akhbar kejohanan di KLGCC hari ini.
Kejohanan yang diiktiraf antara pertandingan golf amatur berprestij di Malaysia dan diiktiraf oleh Persatuan Golf Malaysia (MGA) itu menjadi mercu tanda kecemerlangan di peringkat Asia.
Bukti keunggulannya disokong dengan tawaran biasiswa akademik bernilai RM133,000 kepada 10 pemain terbaik B-21 kategori lelaki dan wanita menjadikan jumlah itu antara yang tertinggi bagi kejohanan golf amatur junior di Malaysia dan Asia.
Antara tumpuan utama tahun ini ialah penyertaan semula juara bertahan Mirabel Ting, pemain wanita Malaysia yang kini berada dalam kedudukan kedua World Amateur Golf Ranking (WAGR) yang juga penerima Anugerah ANNIKA.
Mirabel dengan purata pukulan 68.77 sepanjang musim 2025 merupakan yang terendah dalam sejarah golf wanita Divisyen I iaitu tahap tertinggi dalam olahraga antara kolej di Amerika Syarikat.
Dia juga merupakan pemain golf pertama dalam sejarah Divisyen I yang mencatat purata pukulan di bawah 68.80 bagi minimum 25 pusingan yang dimainkan. – KOSMO! ONLINE