Bintang muay thai kaut hampir RM1 juta

1 day ago 5

BINTANG muay thai sensasi negara, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib kini berjaya mengumpul pendapatan hampir RM1 juta sejak menggegar pentas ONE Championship pada April 2023.

Petarung berusia 21 tahun itu terus mengganas apabila melakar kemenangan kelapan daripada 10 pertarungan selepas menumpaskan jaguh Maghribi, Elmehdi El Jamari di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu lalu.

Kemenangan itu membuka pintu buatnya untuk merebut tali pinggang menentang juara bertahan dari Thailand, Prajanchai PK Saenchai bagi gelaran dunia kategori strawweight dijangka berlangsung pada September depan.

Menurut Aliff, dia kini memasang tekad untuk merampas tali pinggang kejuaraan itu dan melakar sejarah sebagai anak Malaysia pertama melakukannya dalam kategori tersebut di ONE Championship.

“Sejarah baharu kalau menang. Sudah tentu ganjaran yang menanti juga lebih lumayan,” katanya yang kini memberi tumpuan penuh kepada persiapan menjelang pertarungan terbesar dalam kariernya itu.

Kejayaan itu hadir bersama ganjaran yang cukup lumayan apabila Aliff sebelum ini ditawarkan kontrak bernilai AS$100,000 (RM424,079) selepas menewaskan Peyman Zolfaghari pada November 2023.

Prestasinya yang konsisten turut meraih bonus AS$10,000 (RM42,407) sebanyak empat kali, selain bayaran khas bernilai AS$50,000 (RM212,039) hasil perlawanan dramatiknya menewaskan Zakaria El Jamari tahun lalu.

Secara keseluruhan, kantung Aliff kini berisi AS$190,000 (RM805,751), satu angka luar biasa bagi petarung muda seperti dirinya hasil kerja keras tanpa henti di gelanggang.

Aliff mengakui, menggunakan pendapatan hasil pertarungan diraihnya untuk melabur semula dalam sukan yang dicintainya.

“Dengan duit ONE Championship, saya dapat beli tanah di Kelantan dan buka gim sendiri, KIB Boxing Muaythai Gym di Setapak.

“Impian saya nak lahirkan lebih ramai generasi pelapis yang boleh ikut jejak langkah ke pentas dunia,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |