KUALA LUMPUR – Seorang bekas pendaftar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 36 pertuduhan memalsukan surat kebenaran pengeluaran wang RM826,481 milik universiti tersebut.
Tertuduh, Mohd. Fairuz Al Fattah Badarudin, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Fairuz didakwa memalsukan kesemua surat itu antara 20 Jun 2022 hingga 10 Julai 2023 bagi tujuan penipuan kewangan di sebuah cawangan bank di Jalan Raja Chulan, di sini.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam bela, G. Sivajothi Pillai merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya yang kini bekerja sebagai pensyarah sumber manusia di sebuah institusi latihan penerbangan di ibu negara dengan gaji RM2,600 sebulan.
Tambah peguam itu, isteri tertuduh yang berusia 41 tahun juga tidak bekerja selepas kaki kirinya patah akibat kemalangan dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan.
“Tertuduh juga mempunyai anak kembar berusia 10 tahun dan merupakan penanggung tunggal dalam keluarganya. Beliau turut menjaga ibunya yang uzur,” kata Sivajothi Pillai.
Selain itu, peguam itu memaklumkan anak guamnya sentiasa memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malah hadir ke setiap temu janji walaupun berdepan kekangan kewangan.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE