Bekas jaga tendang perut bini hamil, hantuk kepala ke dinding

1 day ago 8

BATU PAHAT – Seorang bekas pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menendang perut isterinya yang sedang hamil dan menghantuk kepala ke dinding serta merosakkan motosikal, Sabtu lalu.

Tertuduh, Danial Azrey Affendy Mohd. Noradi, 21, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 22 tahun dengan menendang perut dan menghantuk kepada ke dinding di sebuah rumah, Taman Desa Sri Banang, di sini, pada pukul 1.15 tengah hari, 7 Jun lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa kepada seorang anak didakwa menendang motosikal milik isterinya hingga kerugian RM58 di Jalan Haji Ibrahim, Kampung Rahmat/ Kampung Nawi Jaya, Jalan Tanjung Laboh, di sini, 3 petang hari sama dan di didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan laporan dibuat, isterinya sedang hamil dua minggu anak kedua, mengajak tertuduh ke Kulai untuk mengambil buaian namun lelaki itu enggan menurutinya sebaliknya meminta mangsa menguruskan sendiri.

Isterinya cuba memujuk namun tertuduh enggan dan memberitahu dia mahu tidur sehingga lelaki itu naik angin lalu menarik rambut dan menghempas ke dinding, kemudian turut menendang perut wanita tersebut hingga kesakitan sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Pahat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan sementara tertuduh diwakili peguam Zulyatie Awang.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan syarat tambahan agar melapor diri di balai polis berdekatan setiap tiga minggu sekali dengan kes disebut semua 14 Julai ini untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |