KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan makanan negara adalah mencukupi dan terjamin sepanjang musim Aidilfitri sehingga Mei ini meskipun dunia berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya bersama agensi berkaitan kini memantau secara rapi stok, harga dan rantaian bekalan setiap hari bagi memastikan tiada gangguan berlaku.
Menurutnya, konflik global yang berlarutan telah memberi kesan kepada kenaikan harga minyak dan gas, kos logistik serta harga baja dan komoditi makanan dunia, yang akhirnya turut dirasai rakyat di negara ini.
“Ramai penganalisis menjangkakan konflik ini tidak akan selesai dalam masa singkat, sekali gus memberi tekanan berpanjangan kepada harga makanan dunia.
“Justeru, saya ingin berterus terang bahawa harga dan situasi bekalan boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya dalam perutusan Aidilfitri hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia dijangka menerima peningkatan kehadiran pelancong berikutan keadaan negara yang stabil dan aman, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap bekalan makanan domestik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan bersedia mengambil langkah intervensi segera sekiranya terdapat sebarang tanda gangguan bekalan.
“Keutamaan kita mudah, bekalan makanan mesti sentiasa ada di pasaran dan rakyat mampu mengaksesnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohamad menyeru orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik serta berbelanja secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran.
“Jangan kerana khabar angin, kita membeli berlebihan. Belilah ikut keperluan dan sokong produk tempatan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi ketidaktentuan global serta tidak mudah terpengaruh dengan berita palsu.
“Aidilfitri mengajar kita kesederhanaan dan kebersamaan. Dengan pengurusan cekap serta rakyat yang matang, insya-Allah keterjaminan makanan negara akan terus terpelihara,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

10 hours ago
7















































