PONTIAN – Taktik licik satu sindiket penyeludupan migran yang menggunakan laluan tidak diwartakan di sekitar perairan daerah ini akhirnya terbongkar selepas polis melancarkan Ops Pintas Bersepadu dalam serbuan awal pagi di tiga lokasi berasingan di Kampung Rambah di Pontian, Gelang Patah di Iskandar Puteri serta Kampung Perpat Timbul, Permas di sini, Selasa lalu.
Operasi bermula pukul 12.30 tengah malam hingga 5.30 pagi itu berjaya menahan beberapa individu yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’, tekong darat, penjaga rumah penampungan, penarik pantai serta migran warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian dengan kerjasama BSJ IPD Iskandar Puteri serta Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Kukup.
“Polis menahan seorang lelaki Indonesia yang bertindak sebagai ‘transporter’, selain seorang lelaki Indonesia dan seorang lelaki tempatan dipercayai menjadi tekong darat serta penjaga rumah penampungan.
“Turut ditahan dua lelaki Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai tekong, seorang lelaki tempatan sebagai penarik pantai dan 11 lagi warga Indonesia yang dipercayai keluar masuk negara menggunakan laluan haram,” katanya dalam kenyataan di sini.
Hadzrat berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan masing-masing berusia 49 dan 52 tahun, manakala 13 lelaki Indonesia berumur antara 20 hingga 52 tahun serta tiga wanita Indonesia berusia 29 hingga 44 tahun turut dicekup dalam operasi berkenaan.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas pelbagai aset dipercayai digunakan untuk kegiatan penyeludupan migran termasuk sebuah Perodua Myvi, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza, dua alat kawalan jauh kenderaan, sebuah bot fibre dan enjin Yamaha 40 kuasa kuda.-KOSMO! ONLINE.

5 hours ago
4















































