JOHOR BAHRU – Baru enam bulan sahaja pihak berkuasa membersihkan kawasan rumah yang dipenuhi sampah sarap dan barangan terpakai, seorang warga emas kembali mengumpul ‘harta’ di kawasan rumahnya di di Taman Sentosa di sini meresahkan penduduk sekali gus menimbulkan rasa tidak senang jiran tetangga.
Seorang penduduk, Jamaludin Kasbi, 56, berkata, isu itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman jiran, malah menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan seperti risiko kebakaran dan ancaman kesihatan.
“Pak cik ini ada masalah kesihatan mental, seorang yang suka kumpul barangan terpakai seperti kotak, plastik, botol dan sebagainya, katanya nak jual tapi bila dah banyak macam ini, boleh mengundang masalah lain.
“Boleh berlaku risiko kebakaran yang teruk, mungkin boleh jadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan denggi boleh merebak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, sebelum ini, sepasukan 50 sukarelawan termasuk pihak berkuasa tempatan turun bergotong-royong membersihkan kawasan dan rumah warga emas terbabit, Julai tahun lalu.
“Masa itu sebanyak 32 tan sampah berjaya dikutip dan ketika itu keadaan rumah sudah kembali lapang serta teratur.
“Justeru itu, kami berharap pihak berkuasa dapat mengambil langkah lebih berkesan bagi menangani isu berkenaan supaya tidak terus berulang demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata, sikap segelintir individu yang masih menghantar perabot dan barangan lama kepada warga emas itu turut menyumbang kepada masalah berkenaan.
“Setiap minggu saya minta lori mengutip sampah di rumah warga emas berkenaan dan hasil jualan barangan terpakai itu diserahkan kepadanya.
“Namun disebabkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina, lori yang kebiasaannya beroperasi tidak dapat menjalankan tugas, menyebabkan sampah kembali bertimbun di luar rumah,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

16 hours ago
8



![[VIDEO] Iran hanya sasar markas tentera AS di UAE – Irfan Khairi](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-02-at-9.58.02-PM.jpeg)











![[VIDEO] Perang AS-Iran: Harga minyak melonjak, barang naik, ringgit jatuh](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-23-at-09.18.00.jpeg)

































