Azira Shafinaz idam watak lasak, tunjuk skil berlawan

17 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Mengidam watak lasak, pelakon dan penyanyi Azira Shafinaz mahu mencabar diri membawakan karakter wanita yang mampu melakukan adegan pertarungan.

Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 34, mengakui sudah membintangi tiga filem aksi, namun belum berpeluang membuktikan keupayaan serta sisi lain di sebalik personalitinya.

“Ikutkan saya memang nak watak lasak, boleh bertarung atau tunjukkan kemampuan skil berlawan. Mungkin suatu hari nanti hajat ini bakal tercapai.

“Setakat ini saya sudah membintangi tiga filem aksi termasuk terbaharu Tarung: Unforgiven, cuma dalam naskhah ini saya bawakan karakter wanita kuat dari segi mental serta bijak mengatur strategi.

Bagi saya, jika melibatkan adegan aksi iaitu pertarungan dan stunt, saya mahu menunjukkan kemampuan saya sepenuhnya dari awal hingga akhir,”  katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan pelakon filem Tarung: Unforgiven, baru-baru ini.

Akui anggota kumpulan De Fam ini, wataknya sebagai Dahlia juga disifatkan istimewa apabila memperkasakan wanita dengan menjadi penyokong utama kepada watak adiknya, Badrul lakonan Zul Ariffin.

“Dahlia adalah otak di sebalik Badrul, dan saya perlu memastikan karakter ini penting di kalangan semua watak lelaki,” ujarnya.

Walaupun watak terbabit tidak melibatkan adegan aksi fizikal, Azira menyatakan cabaran utama adalah untuk memastikan Dahlia tetap berperanan penting sebagai satu-satunya wanita dalam kumpulan jenayah terancang itu.

“Ini adalah cabaran sebenar bagi saya. Saya tidak mahu Dahlia dilihat tidak penting dalam Tarung: Unforgiven,” katanya.

Bekerjasama dengan Zul Ariffin juga disifatkan tidak sukar memandangkan mereka pernah bekerjasama dalam beberapa projek sebelum ini.

Dalam Tarung: Unforgiven, hubungan mereka digambarkan sebagai ikatan adik-beradik yang kukuh, di mana Badrul sentiasa mendengar nasihatnya.

Azira juga menyatakan impian terbesarnya yang lain adalah membintangi filem thriller psikologi, walaupun peluang tersebut masih belum datang.

Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid dan diterbitkan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw bakal ditayangkan bermula 7 Mei ini.

Filem ini turut menampilkan Bront Palarae, Aedy Ashraf, Mierul Aiman, Amir Ahnaf, Sharifah Sakinah, Ubai Amir, Sky Iskandar, Ikmal Amry, Aeril Zafrel dan Theebaan G. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |