Anugerah SHE iktiraf 66 usahawan wanita berjaya

1 day ago 3

KUALA LUMPUR – Anugerah Perniagaan Wanita Usahawan Terhormat ShangHai (SHE) 2025 telah memilih 66 usahawan wa­nita menerima anugerah daripada kategori masing-masing bagi menghargai usaha, keberanian, komitmen dan kepimpinan mereka dalam usaha membentuk landskap perniagaan dan sosial di negara ini.

Acara yang telah memasuki tahun ketiga selepas mencatat kejayaan cemerlang sejak dimulakan pada tahun 2023, penganugerahan ini berjaya mengiktiraf wanita yang menunjukkan kepimpinan, inovasi dan impak luar biasa merentasi pelbagai industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Shanghai Media Sdn. Bhd.(Shanghai Media) Datin Dr. Cherlin Cheah berkata, golongan wa­nita memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial Malaysia.

“Wanita membawa gabungan unik kebijaksanaan, inovasi dan kepimpinan, sekali gus sumbangan mereka sangat penting dalam membentuk masa depan yang lebih makmur dan lestari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian SHE di sebuah hotel yang telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Seputeh dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Teresa Kok.

Penganugerahan kepada 66 usahawan wanita itu telah dipilih melalui proses penjurian yang teliti dan telus serta diaudit oleh Baker Tilly Malaysia.

Antara penerima anugerah tersebut adalah Tengku Norhanim Tengku Othman (NIMS Adeliciousz Sdn. Bhd.), Catherine Goh (Santan Food Services Sdn. Bhd.) dan Nicole Lim (Empire Sushi Sdn. Bhd.).

Pemilihan mereka bersandarkan kepada faktor kekuatan dan kejayaan pemimpin wanita me­rentasi sempadan.

Anugerah Pengaruh Wanita Terbilang Antarabangsa diberikan kepada Puan Sri Nisa Bakri (NISA Holdings Sdn. Bhd.) atas kepimpinan dan pengaruh glo­bal beliau, manakala Anugerah Kepimpinan Kesihatan Awam disampaikan kepada Datuk Dr. Saunthari Somasundaram atas sumbangan luar biasa beliau dalam memajukan kesihatan awam.

Selain itu, bersempena Pink Oktober, Shanghai Media telah bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia bertujuan untuk mempromosikan kempen kesedaran kanser payudara dan kesihatan wanita.

Usaha syarikat juga adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang inisiatif wanita melaksanakan pengesanan awal, penjagaan dan pemerkasaan, selari dengan tema acara gilang gemilang tersebut iaitu “Menyokong Wanita, Membina Masa Depan.”

Sejak penubuhannya, Anugerah SHE telah didedikasikan untuk memperkasakan wanita dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada perniagaan dan masyarakat.

Setiap tahun, ia meraikan wa­nita luar biasa yang mentakrifkan semula kepimpinan, memberi inspirasi kepada kemajuan dan mencipta impak bermakna melalui visi dan keberanian mereka. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |