Anggota polis maut digilis lori

7 hours ago 6

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Cheras dari arah Taman Midah menghala ke Taman Connaught, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.06 petang, manakala kemalangan dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.10 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dan sebuah lori jenis Sinotruk Howo. Turut dipercayai terlibat sebuah lagi kenderaan yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, mangsa merupakan anggota polis lelaki berusia 34 tahun yang bertugas di Urus Setia KPN Bukit Aman.

“Ketika kejadian, mangsa dikatakan bergerak lurus dalam keadaan trafik sesak dan dipercayai mencelah di antara dua lorong kenderaan.

“Sebuah kenderaan di hadapan dilaporkan membrek secara mengejut menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal sebelum terjatuh dan termasuk ke bawah lori yang sedang bergerak di lorong kiri,” ujarnya.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan. Ujian alkohol didapati negatif, manakala saringan air kencing akan dijalankan,” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |