PENDANG – Tradisi pelita raya di Kampung Nam Dam, di sini kembali meriah apabila lebih 50 anak muda kampung bergotong-royong memasang hiasan itu bagi menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri.
Menurut Muhammad Zulfiqri Zulkifli, 25, lebih 800 pelita digunakan untuk menghiasi sepanjang jalan masuk ke kampung, selain terdapat replika Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Alor Setar dan Jambatan Pulau Pinang.
“Berbekalkan semangat menghidupkan semula tradisi pelita raya, kami cari buluh di hutan dan penduduk berkongsi duit untuk membeli pelita dengan kos kurang RM1,000. Memang puas hati bila tengok hasilnya, ia bukan sahaja memeriahkan suasana hari raya malah menghimpunkan penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di kampung tersebut baru-baru ini.
Selain itu, katanya, pelita raya juga bertujuan menyambut kepulangan anak-anak perantau ke kampung.
“Kita nak anak perantau rasa seronok bila balik kampung, bila tengok pelita macam zaman dulu-dulu, barulah rasa raya,” ujarnya.
Ujarnya, salah satu cabaran mereka adalah untuk menyalakan semula pelita yang terpadam kerana kawasan yang terletak di kawasan sawah itu berangin.
Seorang lagi penduduk, Nurul Azmira Sawawi, 28, berkata, inisiatif itu juga berjaya menarik perhatian penduduk luar.
“Orang ramai masuk ke jalan ini dan bergambar sebelum dikongsi di media sosial, sekali gus memperkenalkan kampung kepada masyarakat luar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Kedah, Datuk Dr. Zulkifly Mohamad berkata, idea pelita raya itu datang sepenuhnya daripada anak muda kampung yang bersemangat menghidupkan suasana raya.
“Dari jalan utama sudah nampak nyalaan pelita sepanjang kira-kira 800 meter. Inisiatif kreatif anak muda ini bukan sahaja mengembalikan nostalgia lama, malah mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat setempat,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE

7 hours ago
8















































