KUALA LUMPUR – Impian beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menamatkan kemarau kejuaraan Malaysia di Kejohanan Badminton All England terus tertangguh selepas tewas kepada pasangan No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sebentar tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan penantian 19 tahun Malaysia untuk kembali menjuarai acara beregu lelaki di kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut berpanjangan sejak kali terakhir dimenangi beregu legenda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2007.
Pada aksi final di Utilita Arena Birmingham tersebut, Aaron-Wooi Yik terpaksa akur selepas tewas dalam pertarungan sengit tiga set dengan keputusan 21-18, 12-21, 19-21 yang memakan masa selama 63 minit.
Biarpun tewas, Aaron-Wooi Yik memberikan persembahan terbaik mereka, namun kesilapan di penghujung perlawanan menghukum mereka sekali gus membuka ruang kepada gandingan Korea Selatan tersebut menjulang gelaran All England buat kali kedua berturut-turut.
BEREGU Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae (dua dari kanan) bergambar bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada majlis penyampaian hadiah selepas perlawanan akhir beregu lelaki di Utilita Arena, Birmingham. -AFPBeregu negara memulakan set pertama dengan cukup meyakinkan apabila mempamerkan aksi agresif dan disiplin permainan yang kemas untuk menguasai tempo perlawanan apabila menamatkan set pertama 21-18 dalam tempoh 19 minit.
Bagaimanapun, Won Ho-Seung Jae bangkit pada set kedua dengan permainan lebih pantas dan agresif apabila menekan pertahanan Aaron-Wooi Yik yang dilihat sedikit longgar sebelum menutup set kedua 21-12 dalam masa 18 minit untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga berlangsung dengan penuh tekanan apabila Aaron-Wooi Yik sekali lagi bermula cemerlang apabila mendahului 4-0 dan selesa di depan 11-7. Namun, momentum perlawanan mula berubah apabila pasangan Korea tersebut mengikat kedudukan 13-13 selepas bijak menguasai bahagian hadapan.
Kesilapan demi kesilapan yang dipamerkan pasangan negara membuka ruang kepada gandingan Korea untuk mencari mata kebangkitan tersebut sebelum menoktahkan perlawanan 21-19, sekali gus memaksa Aaron-Wooi Yik berpuas hati selaku naib juara. -KOSMO! ONLINE

12 hours ago
12




![[VIDEO] Gigih curi kipas sambil gendong beg ‘rider’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/curi-kipas.jpeg)









































