KUALA LUMPUR – Gandingan beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun membuka kempen Kejohanan Badminton All England 2026 dengan langkah kanan apabila menyingkirkan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih–Lee Fang Jen sebentar tadi.
Pasangan negara yang kini berada di ranking No.6 dunia itu memperagakan aksi meyakinkan di Utilita Arena, Birmingham apabila mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-17 dalam tempoh 41 minit di pusingan awal tersebut.
Wei Chong–Kai Wun bermula agresif pada set pertama dengan mengawal tempo permainan menerusi variasi serangan pantas dan pertahanan kemas di jaring bagi mengekang kebangkitan pasangan Taiwan berkenaan.
Kombinasi kawalan depan gelanggang yang lebih konsisten membolehkan mereka menguasai rentak permainan sebelum menutup set pertama dengan kemenangan 21-16.
Momentum itu diteruskan pada set kedua apabila pasangan negara kekal tenang meskipun Fang Chih–Fang Jen cuba memberi tentangan sengit di pertengahan permainan.
Aksi agresif dipamerkan Wei Chong–Kai Wun memastikan mereka terus menguasai gelanggang untuk menamatkan perlawanan dengan kemenangan 21-17.
Kemenangan itu juga mengukuhkan rekod pertemuan Wei Chong-Kai Wun apabila melakar tiga kemenangan ke atas gandingan Taiwan tersebut.
Prestasi terbaik itu memberi suntikan keyakinan kepada Wei Chong–Kai Wun menjelang aksi pusingan kedua apabila gandingan pilihan keenam kejohanan itu akan berdepan gandingan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin esok.
Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut cemerlang di kejohanan berstatus Super 1000 tersebut apabila mudah mengatasi pasangan tuan rumah, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen.
Pasangan ranking No.11 dunia itu hanya memerlukan 38 minit untuk melakar kemenangan straight sets 21-14, 21-12 dan Soon Huat-Shevon akan berdepan beregu ranking No.2 dunia dari China, Jiang Zhenbang-Wei Yaxin. -KOSMO! ONLINE

5 hours ago
6

















































