ACLE: JDT bawa bekalan selesa, tumpaskan Sanfrecce Hiroshima 3-1

7 hours ago 7

ISKANDAR PUTERI – Wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Sanfrecce Hiroshima 3-1 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Sebaik 45 minit pertama dimulakan, tuan rumah bermula garang dan hampir mencipta jaringan menerusi Joao Figueiredo namun rembatan deras pemain warisan itu berjaya ditepis penjaga gol, Keisuke Osaka pada minit ketiga.

Pada minit ke-17, Nacho Mendez berjaya melakukan percubaan tepat ke pintu gol, malangnya rembatan yang dilakukan sedikit lemah dan mudah diselamatkan Osako.

Tujuh minit berselang, Akito Suzuki hampir menghukum kesilapan penjaga gol, Andoni Zubiaurre apabila memotong hantaran pendek yang dilakukan namun tindakan gopohnya tidak berjaya menghasilkan gol.

Perlawanan itu menjadi lebih sukar buat kelab Jepun itu setelah terpaksa bermain dengan 10 pemain setelah Kim Jusung mengutip kad kuning kedua selepas mengasari Nene pada minit ke-26.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat tampak banyak bertahan manakala JDT meningkatkan tempo permainan bagi memburu gol pembukaan.

Gol yang diburu anak buah Xisco Munoz hadir pada minit ke-53 apabila Mendez membuat umpanan kepada Aketxe yang melepaskan rembatan lencong yang menyaksikan bola itu melayang menerjah ke penjuru atas gawang.

Jaringan itu memberi tonik buat skuad Harimau Selatan untuk memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang bermain dengan 10 pemain.

Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan sorakan penonton setelah pemain gantian, Bergson Da Silva meledak gol kedua perlawanan apabila menyudahkan ‘cutback’ yang dilakukan Eddy Israfilov pada minit ke-63.

Sanfrecce Hiroshima hampir merapatkan kedudukan namun tandukan yang dilakukan Kosuke Kinoshita sedikit tersasar dari pintu gol JDT pada minit ke-79.

Harimau Selatan menambah derita buat La Viola berpunca daripada serangan balas pantas berpunca daripada Yago Cesar dan disudahkan Guilherme menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-85.

Kelekaan pasukan tuan rumah pada penghujung babak kedua dihukum kelab Jepun itu apabila merapatkan jurang setelah rembatan dilakukan Kinoshita diselamatkan Zubiaurre namun tertampan oleh Nene ke gawang sendiri.

JDT terus mengasak bagi mencari tambahan jaringan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

Kedua-dua pasukan akan bertembung pada aksi timbal balik di Stadium Edion Peace Wing, Hiroshima, pada 11 Mac ini.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |