PETALING JAYA – Semakan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) mendapati 80 murid di Saujana Putra, Puchong tidak dapat menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2025 kerana tidak berdaftar dalam sistem rasmi pendaftaran calon, iaitu Sistem Maklumat Pendidikan Islam.
Jakim juga mengesahkan, Sekolah Rendah Islam al-Afsari itu belum berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta beroperasi tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Jakim, surat rayuan daripada pihak sekolah diterima pada 15 Oktober lalu bagi memohon pertimbangan supaya murid-murid berkenaan dibenarkan menduduki peperiksaan, namun tidak dapat dilakukan susulan perkara tersebut.
“Keadaan ini menyebabkan sekolah tersebut tidak memenuhi kriteria pendaftaran sekolah agama Islam swasta di Negeri Selangor sebagaimana diperuntukkan di bawah Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988,” kata kenyataan itu.
Susulan itu, Jakim dan JAIS mengadakan pertemuan dengan pihak sekolah pada Isnin lalu bagi menjelaskan keperluan pendaftaran serta prosedur peperiksaan UPKK yang dikawal ketat mengikut prosedur operasi standard peperiksaan peringkat kebangsaan.
“Ia perlu dilaksanakan seperti ditetapkan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia dan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1942, bagi menjamin kerahsiaan dan integriti peperiksaan.
Menurut Jakim, perakuan pendaftaran hanya boleh diberikan kepada pihak sekolah jika tiga sokongan agensi berkaitan telah dipenuhi berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Am (Pendaftaran dan Penubuhan) serta tertakluk kepada Enakmen Pengawalan Sekolah Agama Islam 1988 (Pindaan 2001).
“Justeru, pihak sekolah disarankan untuk segera mendapatkan kelulusan daripada ketiga-tiga agensi sokongan berkenaan kerana operasi tanpa pendaftaran sah adalah tidak dibenarkan.
“Jakim dan JAIS turut menasihatkan pihak sekolah, mempertimbangkan langkah memindahkan murid-murid terlibat ke sekolah-sekolah yang berdaftar di samping mendaftarkan mereka sebagai calon menumpang bagi tujuan peperiksaan UPKK,” jelas Jakim.
Jakim turut meminta supaya pihak sekolah meneliti semula semua keperluan dan tatacara pendaftaran supaya perkara seumpama ini tidak berulang.
Jelas Jakim, pendaftaran rasmi bukan sahaja memastikan kelancaran urusan peperiksaan, tetapi turut menjamin kualiti pendidikan, kebajikan murid, serta pengiktirafan sah terhadap sijil dan keputusan peperiksaan.
“Jakim turut menyeru ibu bapa agar lebih peka dan proaktif dalam memastikan sekolah tempat anak-anak menimba ilmu berdaftar secara rasmi dengan pihak berautoriti agama negeri.
“Dalam masa yang sama, Jakim sedia memberikan panduan dan khidmat nasihat kepada pihak sekolah bagi memastikan semua institusi pendidikan Islam swasta dapat beroperasi mengikut saluran sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri,” tambah kenyataan sama.
Jakim turut menyeru kepada orang ramai supaya menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum dikongsi agar tidak timbul salah faham yang boleh menjejaskan imej institusi agama. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
6











![[VIDEO] Pempengaruh dikecam buat live lucah, isteri turut gelak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-06-at-3.28.35-PM.jpeg)





































