HULU LANGAT – Jabatan Imigresen (JIM) mengambil tindakan terhadap 347 majikan di atas kesalahan menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI), setakat Februari lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun hampir RM6 juta terhadap majikan selain menahan PATI.
“Langkah tersebut diambil kerana selagi majikan tidak dikenakan tindakan, kehadiran PATI akan terus berlaku memandangkan mereka masih mempunyai peluang pekerjaan di negara ini.
“Jika semua majikan bertanggungjawab dan tidak menggaji pekerja asing secara tidak sah, tarikan untuk warga asing datang ke negara ini akan berkurangan, kecuali mereka yang masuk dan bekerja secara sah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi di sebuah kilang sekitar kawasan Balakong yang menahan seramai 133 pekerja asing, di sini hari ini.
Zakaria berkata, seramai 1,939 majikan telah diambil tindakan tahun lalu dengan jumlah kompaun melebihi RM36.6 juta, sekali gus menunjukkan peningkatan ketara.
“Selain kompaun, tindakan mahkamah turut menyaksikan jumlah denda melebihi RM1 juta dikenakan kepada 57 majikan bagi tahun ini, manakala lebih RM10 juta denda terhadap 454 majikan direkodkan sepanjang tahun lalu,” ujarnya.
Zakaria berkata, antara alasa yang diberikan majikan adalah kesukaran mendapatkan pekerja tempatan serta ketiadaan kuota baharu bagi pengambilan pekerja asing.
Bagaimanapun, katanya, alasan berkenaan tidak boleh diterima kerana undang-undang tidak memberi sebarang pengecualian.
“Majikan perlu memahami peraturan dan mendapatkan pekerja melalui saluran sah,” tegasnya.
Mengulas lanjut, Zakaria tidak menafikan terdapat penglibatan ejen tidak berdaftar yang menawarkan pekerja asing kepada majikan.
“Namun, tanggungjawab sepenuhnya tetap terletak kepada majikan kerana mereka yang membuat keputusan untuk menggaji dan berurusan dengan pihak tersebut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

13 hours ago
6

















































