18 PATI tak dapat beraya, duit RM1,700 bayar tekong lebur

13 hours ago 6

MELAKA – Hasrat 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk pulang ke negara asal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak kesampaian apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dalam operasi di Teluk Pulau Upeh, awal pagi semalam.

Kesemua mereka dipercayai sanggup membayar sehingga RM1,700 seorang kepada tekong darat bagi menguruskan perjalanan pulang secara tidak sah melalui laluan laut.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, seramai 16 lelaki dan dua wanita berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan ketika dipercayai sedang menunggu bot bagi membawa mereka keluar ke Dumai, Indonesia.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, Op Taring Landai bersempena Op Khas Aidilfitri 2026 itu dilaksanakan oleh pasukan PPM selepas menerima maklumat risikan daripada Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mereka ini telah dibawa ke lokasi berkenaan menggunakan beberapa kenderaan sebelum ditinggalkan di persisiran pantai bagi menunggu bot yang akan membawa mereka keluar dari Malaysia.

“Difahamkan, setiap migran membayar antara RM1,500 hingga RM1,700 kepada ejen yang menguruskan perjalanan tersebut,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, tiga daripada lelaki yang ditahan dipercayai bertindak sebagai tekong darat atau ejen yang menguruskan penghantaran migran sebelum diserahkan kepada pihak ketiga untuk dibawa keluar melalui laluan laut.

Katanya, dalam operasi itu, polis turut merampas 26 telefon bimbit pelbagai jenis selain wang tunai sebanyak RM14,465 serta wang rupiah berjumlah 36,976,300 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM48,151.85.

“Dalam hari sama pada pukul 3 pagi, pasukan polis turut melaksanakan Op Taring Gelora dan menahan lapan warga Indonesia termasuk dua tekong yang disyaki cuba memasuki Malaysia secara haram melalui perairan Pulau Upeh.

“Mereka sanggup membayar kos antara RM2,000 hingga RM3,000 kepada tekong berkenaan dan dipercayai dia telah menjalankan aktiviti itu sebanyak tiga kali sejak awal Ramadan,”ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar masuk negara tanpa dokumen sah. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |