10 tahun MSU pulihara terumbu karang di Pulau Geluk

1 day ago 10

PROGRAM MyCoral yang bertujuan memulihara terumbu karang telah dirintis oleh pihak Management and Science University (MSU) sejak sedekad lalu.

Kini, usaha itu sudah mula menunjukkan hasil apabila biodiversiti semakin kaya di perairan Pulau Geluk, Kuala Nerus, Terengganu.

Perairan pulau terpencil yang terletak berhampiran Pulau Bidong tersebut kini bukan sahaja subur dengan pertumbuhan terumbu karang, malah mula menggamit kehadiran ikan berwarna-warni di dasar lautnya.

Malah kini, Pulau Geluk mula meniti di bibir peminat aktiviti selam skuba yang teringin menerokai keindahan dasar lautnya.

Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, program MyCoral telah dilancarkan pada tahun 2016 sebagai inisiatif institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut untuk sama membantu melestarikan alam sekitar di negara ini.

“Program MyCoral bertujuan membantu memulihara terumbu karang, sekali gus memperkasa biodiversiti maritim negara.

“Pada masa sama, MSU mahu meningkatkan kesedaran kelestarian maritim bukan sahaja dalam kalangan pelajar dan kakitangan kami, malah rakan industri serta masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui K-Kampus pada sambutan ulang tahun ke-10 MyCoral di Pulau Geluk baru-baru ini.

Sebahagian daripada 190 peserta Program MyCoral ke-10 yang diadakan di Pulau Geluk, Kuala Nerus, Terengganu baru-baru ini.

Mohd. Shukri berkata, program MyCoral di Pulau Geluk pada asalnya hanya melibatkan pelajar dan tenaga pengajar jurusan perubatan, namun kini telah berkembang melibatkan semua warga MSU merentas pelbagai fakulti.

Menurutnya, program MyCoral bukan sahaja menjadi aktiviti pencambahan terumbu karang, bahkan telah berkembang menjadi medium melatih masyarakat setempat menjadi usahawan produk pelancongan pendidikan.

“Laporan dan kertas kajian akademik dihasilkan membuktikan program MyCoral berjaya melestarikan biodiversiti di perairan Pulau Geluk. Kesedaran awam juga meningkat.

“Program ini pernah memperolehi Anugerah Emas bagi kategori Kreativiti Inovasi dalam Pameran Teknologi, Inovasi dan Ciptaan Antarabangsa (iTEX) pada tahun 2019,” katanya.

usaha MSU mencambahkan terumbu karang sejak 10 tahun lalu telah mengindahkan dasar laut Pulau Geluk.

Mohd. Shukri menambah, kejayaan program MyCoral di Pulau Geluk menjadi pemangkin untuk memperluaskannya ke peringkat antarabangsa, bermula dengan rantau Asia Tenggara.

Katanya, program MyCoral telah dianjurkan di Pulau Ambon, Indonesia bermula pada tahun lalu, selain merancang untuk ke Filipina pada masa terdekat.

Sementara itu, pengarah program yang juga Pengurus Rantau Hal Ehwal Global MSU, Mohd. Hairulnizam Ibrahim berkata, MyCoral bertujuan membiak anak batu karang di dasar perairan Pulau Geluk.

“Anak-anak batu karang diikat pada kerangka besi sebelum ditenggelamkan di dasar laut pada kedalaman antara enam dan lapan meter.

“Alhamdulillah, anak batu karang tumbuh antara dua dan tiga sentimeter setahun dalam tempoh 10 tahun ini, lalu membentuk terembu karang,” katanya.

Sebahagian pelajar dan warga MSU yang terlibat dalam program MyCoral di Pulau Geluk.

Dalam pada itu, Mohd. Hairulnizam memaklumkan, program MyCoral ke-10 baru-baru ini telah melibatkan 190 peserta yang terdiri daripada pelajar tempatan dan antarabangsa, alumni, tenaga pengajar MSU, rakan industri serta masyarakat setempat.

Katanya, seramai 10 nelayan Kampung Penarik, Setiu juga telah dilatih menjadi pemandu pelancong bagi memperkenalkan Pulau Geluk sebagai destinasi pelancongan pendidikan kepada peminat aktiviti selam skuba.

Salah seorang alumni MSU, Dr. Muhammad Syakir Abd. Halik, 30, berkata, dia masih teruja untuk menyertai program MyCoral, biarpun sudah lama menamatkan pengajian, dan kini sudah bergelar doktor pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

“Saya antara peserta terawal program MyCoral ini pada tahun 2017. Saya teruja lihat anak batu karang yang saya tanam dulu kini sudah berkembang baik selepas sedekad.

“Rakan-rakan saya yang terdiri daripada peminat selaman skuba juga memberi maklum balas positif. Ini menjadikan perairan Pulau Geluk antara destinasi kegemaran baharu untuk melakukan aktiviti skuba sejak akhir-akhir ini,” katanya.

Read Entire Article
Pertanian | | | |