Wanita dituduh ludah, tunjuk jari tengah terhadap anggota polis

1 month ago 26

ALOR SETAR – Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan meludah, mengeluarkan perkataan mengaibkan dan menunjukkan jari tengah terhadap anggota polis, bulan lalu.

Tertuduh, Teoh Siew Li, 35, juga didakwa mengeluarkan perkataan yang melukakan perasaan penganut agama Islam terhadap anggota polis sama.

Dia yang merupakan pengarah syarikat serta pengurus jualan membuat pengakuan tidak bersalah sebaik tiga pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Nur Syifa Mohd. Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, Siew Li didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meludah ke arah anggota polis, Lans Koperal Jelnazir Helman dengan niat menghalangnya menjalankan tugas di Jalan Perusahaan 2, Taman Bandar Baru Mergong pada pukul 12 tengah hari, 31 Disember lalu.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyebut perkataan mengaibkan dan menunjukkan jari tengah kepada anggota polis terbabit di lokasi dan tarikh sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 KK yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan ketiga adalah sengaja melukakan perasaan penganut Islam dengan mengeluarkan perkataan menghina agama Islam juga di lokasi dan masa sama dengan kes didakwa di bawah Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim pada prosiding itu mencadangkan jaminan tinggi iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau memaklumkan tertuduh juga berdepan kesalahan sama di bawah Seksyen 353 KK di Mahkamah Majistret Taiping selain terdapat lebih 500 hantaran yang menimbulkan kegusaran kaum dan agama membabitkan pertuduhan ketiga.

Siew Li bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana menanggung ibu, adik, dan adik iparnya. Dia memaklumkan mempunyai pendapatan yang boleh mencecah sehingga RM20,000 sebulan, selain merupakan lulusan undang-undang sebuah kolej swasta.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 20 Januari depan untuk lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |