Dua maut, empat mangsa cedera parah stabil

7 hours ago 7

PUTRAJAYA – Empat mangsa yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan yang terbabas di Persiaran Persekutuan, di sini hari ini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kemalangan tersebut turut mengorbankan dua lelaki yang merupakan penumpang selepas kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an itu dipercayai hilang kawalan ketika berada di lorong kanan.

“Kereta tersebut kemudian terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar pokok. Akibat perlanggaran itu, dua penumpang lelaki berusia lewat belasan hingga awal 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk dibedah siasat.

Sementara itu, katanya, beberapa penumpang termasuk pemandu yang mengalami kecederaan kini menerima rawatan di hospital sama dan dilaporkan stabil.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu dengan menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua lelaki maut manakala empat lagi cedera parah dalam kemalangan dari Presint 1 menghala ke Taman Wetland, Presint 12, di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) WP Putrajaya menerima panggilan kecemasan pukul 11.58 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14 bersama pasukan EMRS dikejarkan ke lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |