‘Video tak senonoh? Lantaklah nak percaya atau tidak’

1 day ago 10

KUALA LUMPUR – Pelakon Tony Eusoff menyerahkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk membuat penilaian sendiri berhubung tular sebuah video dengan aksi tidak senonoh yang dikatakan mirip dirinya.

Tony atau nama penuhnya Anthony Joseph anak Hermas Rajiman berkata, situasi tidak akan berubah meski dia menafikan atau mengesahkan individu dalam video tersebut adalah dirinya.

“Ada lagi benda lain saya nak fokus cuma paling penting ialah kerja.

“Jadi, serahkan kepada kalian, nak percaya suka hati. Tak guna pun kalau saya mengiyakan atau menidakkan,” katanya kepada Kosmo! Online selepas majlis tayangan gala filem Balas Balik di sini, malam tadi.

Tambah Tony, individu yang menyebarkan video tersebut hanya merumitkan kehidupan orang lain.

Dia juga meminta orang ramai tidak menonton video tersebut sekiranya impaknya tidak memberi sebarang faedah serta menyerahkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk mempercayai individu berkenaan adalah dirinya atau tidak.

“Kalau nak percaya, lantak kalian. Adakah hanya itu (video) fokus hidup kalian? Kalau tak boleh menyenangkan, jangan susahkan orang.

“Kalau itu menyinggung diri kalian, kenapa tengok? Kita sebagai manusia ada pilihan untuk percaya atau tidak.

“Kalau benda itu menyakitkan mata, janganlah tengok. Jika percaya video itu betul, lantaklah sebab kita tak boleh paksa orang sama ada nak hakimi kita atau tidak.
Benda begitu terpulang pada individu,” katanya lagi.

Terdahulu sebuah video lucah dikatakan mirip Tony kembali tular dalam media sosial baru-baru ini.

Rentetan itu, netizen mula memetik nama Tony kerana wajah lelaki dalam video tersebut miripnya.

Difahamkan, video tersebut dikatakan pernah tular sekitar tahun 2023.

Dalam perkembangan lain, bintang kelahiran Kuching, Sarawak itu bakal disaksikan sebagai Tuan Roslan, seorang bos panas baran yang mati dibunuh di dalam pejabatnya menerusi filem Balas Balik. Filem arahan Feroz Kader tersebut akan memulakan tayangan pada 29 Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |