KUALA LUMPUR – Seramai 72 peserta dari 50 negara bakal menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 yang akan berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos ini di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Ogos, manakala penutupan pada 9 Ogos nanti.
“Malaysia diwakili empat peserta terbaik, dua dalam kategori tilawah dan dua dalam kategori hafazan.
“Kita mahu al-Quran bukan hanya dibaca, tetapi dihayati dan diamalkan dalam setiap dimensi kehidupan – daripada individu, keluarga, organisasi hingga ke tahap negara,” kata Mohd Na’im dalam ucapannya di Majlis Pra Pelancaran MTHQA hari ini.
MTHQA turut disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV AlHijrah, dan saluran rasmi media sosial Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pemenang utama setiap kategori akan menerima RM40,000, tempat kedua RM30,000, tempat ketiga RM20,000 dan saguhati RM3,000.
“Semua peserta juga akan menerima cenderamata dengan tambahan hadiah barangan emas tajaan YaPEIM bagi pemenang utama,” katanya.
Tambah Mohd Na’im, antara acara menarik termasuk bacaan al-Quran terpanjang dalam tren KL–Hatyai dan World Quran Symposium (WQS) yang menampilkan Imam Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Salah al-Budair sebagai tetamu khas.
“Kita juga adakan perbincangan kemungkinan akan adakan acara ‘ flash mob’ yang mungkin diadakan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
“Bertemakan “Membangun Ummah Madani”, penganjuran kali ini diharap dapat memperkukuh syiar Islam dan martabat al-Quran ke peringkat antarabangsa,” ujar Mohd Naim.- KOSMO! ONLINE.