- Oleh ASLIZA MUSA
- 14 Julai 2025, 5:03 pm

PASIR SALAK – Operasi pembenihan awan bagi menghasilkan hujan akan diusahakan di kawasan utara negeri ini susulan penurunan kritikal paras air di Empangan Bukit Merah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah pembenihan awan pernah dilaksanakan sebelum ini namun penyelesaian jangka panjang terhadap masalah tersebut memerlukan projek besar berkaitan pemindahan air.
“Dulu pun kita ada buat (pembenihan awan) tapi kita tahu soal takungan air sangat penting sebab itu kita usahakan projek pemindahan air bernilai berbilion ringgit bagi mengatasi masalah air di Lembah Kerian dan selatan Seberang Prai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi Felcra Berhad, Seberang Perak di Kampung Gajah, di sini hari ini.
Menurut Mohamad, projek besar penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, kini sedang memasuki fasa pelaksanaan dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). – KOSMO! ONLINE