KUALA LUMPUR – Bukan berniat merahsiakan perkahwinan kali kedua, penyanyi Jaclyn Victor mengakui faktor usia serta status ibu tunggal membuatkannya tidak menghebohkan resepsi pada 25 Mei lalu.
Jaclyn, 46, berkata, majlis perkahwinannya dengan paderi Calvin T Samuel yang berasal dari Barbados itu hanya diraikan bersama keluarga serta kenalan terdekat.
“Saya tak rahsiakan, cuma saya pilih untuk tidak menghebahkannya. Umur saya pun sudah begini. Lagipun ini bukan perkahwinan pertama saya.
“Bukan saya nak rahsiakan selama-lamanya pun. Saya sedar kawan-kawan yang datang pasti berkongsi majlis resepsi saya itu media sosial.
“Jadi saya rasa tak perlu dikecohkan. Biarlah saya simpan sebagai sesuatu yang amat peribadi,” katanya ditemui pada majlis An Intimate Afternoon with Bunga Citra Lestari, di sini, hari ini.
Jaclyn bersama seorang pemain biola profesional, Dennis Lau menjadi artis undangan penghibur popular Indonesia dalam konsert anjuran Pulse Project Asia yang berlangsung pada 27 September depan.
Ditemani suaminya, penyanyi Gemilang itu mengakui terpikat dengan lelaki berstatus duda anak dua yang sudah dewasa itu disebabkan tarikan fizikalnya.
“Saya menyukai dirinya kerana dia seorang yang tinggi, berkulit gelap dan kacak. Dia seorang yang baik dan sangat tenang.
“Calvin juga pandai melayan anak-anak saya, bahkan banyak menghabiskan masa bersama mereka.
“Dari segi personaliti, hubungan kami sangat santai dan tidak rasa kekok. Dia seorang pendengar yang baik dan sifatnya itu membuatkan saya selesa berkongsi apa jua hal termasuk masalah,” ujarnya.
Sementara itu, Calvin yang berasal dari kepulauan Barbados dan kemudian berhijrah ke United Kingdom menyifatkan Jaclyn sebagai wanita mengagumkan.
“Kami bertemu dua tahun lalu ketika saya mengambil cuti sabatikal dan memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan.
“Kemudian saya menghadiri sebuah acara dan kebetulan Jaclyn membuat persembahan. Itu adalah kali pertama kami bertemu.
‘Saya suka semuanya tentang isteri saya ini kerana dia seorang yang merendah diri dan dia sangat istimewa,” katanya.
Terdahulu, majlis resepsi Jaclyn dan Calvin tular selepas video dan foto hari bersejarah mereka dikongsi rakan artis termasuk Shila Amzah dan Liza Hanim menerusi media sosial.
Difahamkan, majlis berlangsung secara tertutup dengan hanya dihadiri keluarga serta rakan terdekat pasangan terbabit.
Jaclyn sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada 2014, namun ikatan mereka terlerai lima tahun kemudian.
Menerusi perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Jonah, 10, dan Molly, 8. – KOSMO! ONLINE