Farah Ain ungguli Anugerah SAM

4 hours ago 4

PETALING JAYA – Ratu boling padang negara, Nur Farah Ain Abdullah dan jaguh angkat berat para, Bonnie Bunyau Gustin dinobat sebagai Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik 2024 Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).

Kemenangan pada majlis yang diadakan di Sunway Resort hari ini mengiktiraf pencapaian luar biasa kedua-dua atlet yang konsisten menjulang nama Malaysia di pentas dunia sepanjang tahun lalu.

Menariknya, Farah Ain yang sebelum ini muncul Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 pada Mei lalu, berjaya menewaskan pesaing utama yang juga pemenang Olahragawan Kebangsaan ASN 2024 iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Selain itu, Farah Ain juga berjaya mengetepikan saingan hebat daripada ratu tenpin boling, Sin Li Jane; juara  dunia wushu, Tan Cheong Min dan pelari menara Soh Wai Chin.

“Saya sangat bersyukur, sekali lagi saya dapat mengangkat nama boling padang dan membuktikan bahawa sukan ini bukan calang-calang,” katanya.

Kejayaan itu turut memperkukuh dominasi boling padang selepas pasangan Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi merangkul gelaran sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan kekuatan berterusan sukan tersebut di peringkat antarabangsa.

Bagi kategori para, Bonnie akhirnya meraih gelaran idaman selepas dua kali tewas kepada Cheah Liek Hou, hasil kejayaan luar biasanya mempertahankan emas Paralimpik di Paris serta memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232 kilogram (kg) dalam kategori 72kg.

Bonnie mengatasi barisan calon lain termasuk jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli, pemegang rekod lompat jauh Datuk Abdul Latif Romly dan pelari pecut, Eddy Bernard.

Pemenang bagi kedua-dua kategori utama membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi eksklusif sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada arena sukan tanah air.

“Pertandingan setiap kategori tahun ini cukup sengit dan saya yakin semua keputusan dibuat dengan pertimbangan sewajarnya. Saya juga gembira melihat ramai pemenang wanita tahun ini iaitu satu perkembangan cukup membanggakan,” kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dalam kategori lain, perenang muda sensasi, Mohd. Dhuha Zulfikry dinobat sebagai Atlet Muda Terbaik selepas merangkul enam emas dan dua perak di Sukan Malaysia termasuk memadam empat rekod kejohanan.

Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menerima Anugerah Persatuan Dinamik, manakala Johor Darul Ta’zim FC (JDT) diberi Anugerah Khas SAM atas kecemerlangan menyeluruh sebagai kelab profesional terbaik negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |